Sokongan Padu Buat Khaled

JOHOR BAHRU, 13 Dis – Pemuda UMNO Johor bersedia mempertahankan negeri dari dirodok pembangkang pada PRU14 seperti yang disasarkan Pakatan Harapan pada Konvensyen Nasional Amanah 2016, kelmarin.

Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata, siapa pun yang sedang bersama Pakatan Harapan kini langsung tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap BN di Johor kerana sokongan terhadap Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin sedang memuncak.

Menurutnya, dasar yang diperkenalkan oleh Mohamed Khaled terbukti untuk kepentingan semua Bangsa Johor, berbanding Pakatan Harapan yang mengamalkan sikap berat sebelah.

“Biarlah mereka (Pakatan Harapan) terus bermimpi untuk menawan Johor kerana memang sejak dari dahulu lagi pembangkang melakukan serangan dan cuba untuk mendapatkan kubu kuat BN ini.

“Walaupun ada bekas perdana menteri dan bekas pemimpin kuat Johor bersama mereka, insya-ALLAH Johor bawah Datuk Seri Mohamed Khaled akan terus mendapat sokongan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Hahasrin berkata, Pemuda Umno Johor yakin Pakatan Harapan akan ditolak oleh Bangsa Johor pada PRU14 kerana sikap kepimpinan parti pembangkang itu yang lebih gemar memecahbelahkan negeri selatan tanah air itu.

Menurutnya, Pemuda Umno Johor akan terus bersama orang muda sebagai benteng pertahanan untuk terus mengekalkan Johor sebagai kubu kuat BN.

“Kalau kita tengok yang cuba pecah belahkan Johor adalah pembangkang seperti kenyataan mengenai 700,000 warga asing bakal banjiri Forest City dan bakal diberikan kad pengenalan, memang kenyataan yang tidak bertanggungjawab tanpa bukti yang sahih.

“Jadi saya percaya insya-ALLAH Johor akan tetap jadi Johor dan akan terus kekal bersama BN di bawah pentadbiran Dato’ Mohamed Khaled,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu pada ucapan penggulungan Konvensyen Nasional Amanah 2016 yang menyasarkan Johor untuk PRU14.

Beliau yakin sekiranya Pakatan Harapan terus bersatu, Johor adalah sasaran kemenangan PRU14 selepas Melaka dan Negeri Sembilan.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial