SOLAT HAJAT DOA KEAMANAN NEGARA

image (1)

JOHOR BAHRU – Puteri Umno Johor mengambil pendekatan menganjurkan Program Solat Dhuha, Solat Hajat dan Tahlil sebagai usaha mendoakan kesejahteraan negara ini berbanding mengadakan aktiviti agresif menerusi penganjuran himpunan.

Ketuanya, Rohaizah Ahmad berkata, program solat hajat yang julung kali diadakan itu disertai 100 ahli yang terdiri daripada ketua sayap puteri dan ahli jawatankuasa di semua peringkat bahagian Umno negeri ini.

“Kami berpendapat pendekatan ini lebih relevan dengan meminta pertolongan ALLAH agar negara dan rakyat sentiasa dilindungi.

“Program ini juga akan sentiasa diteruskan dan diperluaskan ke peringkat bahagian agar diadakan lebih menyeluruh dan mendapat penyertaan lebih ramai dari anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Solat Dhuha, Solat Hajat, Bacaan Tahlil dan Penyampaian Jalur Gemilang anjuran Pergerakan Puteri Umno Johor di Villa Warisan JA di sini.

Dalam pada itu, Rohaizah turut berharap ketegangan situasi politik semasa khususnya dalam Umno dapat dipulihkan segera agar pentadbiran dan ekonomi negara dapat terus diperkukuhkan.

Katanya, kestabilan politik dalam negara amat penting bagi menentukan keyakinan dan kepercayaan golongan muda terhadap BN dalam memastikan parti pemerintah terus diterima.

“Kita sentiasa menyokong pendirian Umno Negeri yang memberi kebebasan kepada perwakilan untuk bersuara.

“Namun kepimpinan Puteri Umno khususnya di negeri ini tidak cepat melatah tetapi berharap masalah yang berlaku dalam parti dan politik hari ini dapat diselesaikan segera agar parti ini terus diterima golongan muda,” katanya.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial