Solidariti Umat Islam Bermula Di Masjid

masjid

PENGIMARAHAN masjid perlu berjalan secara menyeluruh, bersepadu, komprehensif dan konsisten dengan menggunakan pendekatan lebih kreatif dan inovatif supaya solidariti umat Islam boleh disuburkan lagi melalui sistem dan institusi masjid yang mantap.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, antara langkah awal yang boleh dilakukan bagi memacu pembentukan modal insan yang berkualiti lagi Islamik di negeri ini adalah melalui pemerkasaan institusi masjid termasuk peranannya.

“Pengimarahan masjid memerlukan semua pihak mengubah pandangan dan tanggapan kebanyakan masyarakat yang masih menjadikan masjid hanya untuk tempat menunaikan solat lima waktu selain ibadat-ibadat khusus serta beberapa aktiviti keagamaan.

“Antara beberapa perkara yang boleh dilakukan ialah masjid seharusnya berfungsi sebagai pusat penyebaran maklumat yang tepat mengenai Islam seperti membanteras penyebaran gejala ajaran sesat seperti fahaman Syiah dan liberalisme,” katanya ketika berucap pada Majlis Multaqa Imam, Guru Takmir dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Negeri Johor Darul Ta’zim.

Beliau berkata, masjid berperanan mencorakkan susun atur, budaya, sosio-ekonomi dan gaya hidup manusia sebagaimana yang pernah tercatat dalam sejarah.

“Jika kita meneliti helaian kisah-kisah perjuangan Nabi Muhammad S.A.W., kita akan mendapati bahawa masjid mempunyai pelbagai fungsi yang bukan sahaja bersifat kerohanian malah turut tertumpu kepada soal menyelesaikan masalah ummah,” katanya.

Dato’ Mohamed Khaled berkata, berbeza dengan keadaan sekarang, peranan dan skop masjid tidak universal lagi seperti dahulu.

“Ketiadaan kegiatan yang bercorak kebudayaan, ekonomi, sosial dan sebagainya merupakan faktor-faktor yang menjauhkan masyarakat terutama golongan muda untuk ke masjid, sedangkan unsur-unsur ini diperlukan oleh fitrah manusia,” katanya.

Beliau berkata, bagi membantu masjid di Johor mencapai mutu dan berfungsi seperti sewajarnya, Kerajaan Negeri mengambil langkah memperkukuhkan lagi aspek pentadbiran dengan melantik pegawai di peringkat pengurusan dibantu kadi daerah dan 10 orang Penyelaras Pentadbiran Masjid dan Surau (Penyelaras) di peringkat daerah serta dibantu 56 orang penggerak masjid di peringkat mukim dan kariah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Abd Mutalib Abd Rahim, berkata, pelbagai program sudah dirancang dari semasa ke semasa bertujuan untuk mengimarahkan masjid dan memperkukuhkan lagi peranannya seperti zaman awal keagungan Islam dahulu.

Katanya, di samping program sedia ada, pihaknya sentiasa cuba mempelbagaikan program baharu yang akan dimaklumkan kelak.

“Kita sedang menyusun satu modul khas, program takmir atau penerangan mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah dan penyelewengan yang lain yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Ini adalah program yang sedang dalam kajian peringkat akhir sebelum dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam di negeri ini untuk sama-sama menyumbang kepada Tabung Pembangunan Masjid dan Amal Jariah Johor bagi menggalakkan orang ramai bersama kerajaan dalam membangun dan menguruskan masjid serta surau di Johor.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial