Stadium Baru JDT Dijangka Siap Akhir 2018

GELANG PATAH, 4 Ogos – Pembinaan Stadium Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Iskandar Puteri sedang berada di landasan betul, kata Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview, Datuk Md Othman Yusof.

Beliau berkata, pembinaan stadium itu sedang berjalan mengikut jadual seperti yang dirancang.

“Kita sudah memulakan kerja-kerja tanah dan kita menjangkakan stadium ini disiapkan menjelang akhir tahun depan yang boleh menampung kapasiti maksimum 40,000 orang.

“Kita juga merancang untuk membina lebih banyak stadium, kedai dan pusat sukan dalam projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rekabentuk dan Konsep Stadium Bola Sepak Johor Darul Ta’zim, Perasmian Kilang IBS dan Meraikan Kemajuan Forest City di Hotel Phoenix Forest City di sini hari ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin; Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz; Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani; Exco Kerajaan Negeri dan Pengerusi Country Garden Pacificview, Dato’ Daing Abdul Malek Daing Abdul Rahaman.

Stadium tersebut yang dibina dengan kos kira-kira RM200 juta bakal menggantikan Stadium Tan Sri Hasan Yunos di Larkin bagi pasukan JDT 1.

Stadium Tan Sri Hasan Yunos pula akan dikhususkan bagi pasukan JDT 2, manakala Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang untuk kegunaan JDT 3 dan 4.

Pada majlis itu, Forest City turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan 21 pihak bagi membangunkan projek berkenaan sambil disaksikan oleh Tunku Ismail dan Mohamed Khaled.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Country Garden Pacificview, Dr Yu Runze berkata, pihaknya akan menandatangani beberapa MoU lagi selepas ini berkaitan pelaburan strategik.

“Selain itu, kami berharap kawasan bebas cukai ini akan beroperasi sepenuhnya pada November ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan seramai 160,000 pelancong ke Johor terutamanya Forest City pada tahun ini, sama seperti tahun lalu.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial