Suami Hargai Isteri, Kunci Keluarga Harmoni

Juita

WANITA adalah tunggak sesebuah institusi kekeluargaan. Tanpa golongan hawa ini, institusi kekeluargaan dilihat tidak lengkap malah suram. Walau kebanyakan wanita hari ini memiliki kerjaya, mereka tidak pernah lupa terhadap tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di rumah.

Namun, sejauh manakah pengorbanan mereka ini dihargai? Ikuti pandangan Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor (JUITA), Datin Rosni Omar berkenaan peranan yang dimainkan oleh wanita serta peluang dan peranan JUITA bagi membantu golongan ini.

Wanita Harus Bijak :

Bahagi Masa

Tidak dinafikan wanita masa kini mempunyai tanggungjawab besar. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, kebanyakan wanita kini turut keluar untuk bekerja bagi membantu suami menampung perbelanjaan dan keperluan keluarga.

Namun begitu, walau setinggi manapun status wanita dalam bidang yang diceburi, mereka masih merupakan seorang isteri dan ibu apabila berada di rumah.

Menurut Yang Dipertua JUITA, YABhg Datin Rosni Omar, pada masa kini terdapat pelbagai cabaran sama ada dari segi ekonomi, kewangan dan kesihatan yang perlu dihadapi oleh golongan hawa.

“Walaupun banyak cabarannya, wanita harus ada satu kesinambungan yang perlu dicapai dalam aspek pengurusan kerjaya bagi mereka yang bekerja, dan tanggungjawab wanita di rumah,” katanya.

Beliau berkata, wanita yang berkerjaya harus bijak membahagikan masa.

“Wanita harus bijak membahagikan masa supaya kerjaya dan rumahtangga berjalan seiring tanpa ada masalah. Saya percaya, wanita masa kini semakin bijak dan mereka juga adalah nadi di samping suami. Pengorbanan mereka ini haruslah dihargai oleh suami,” katanya.

Wanita Mangsa Keganasan Rumahtangga

Sering dipaparkan dalam akhbar dan media massa mengenai keganasan rumahtangga yang mana golongan wanita sering menjadi mangsanya.

Menurut Datin Rosni, situasi ini harus dipandang serius oleh pihak yang berkenaan supaya masalah ini dapat diatasi dan golongan wanita yang menjadi sasaran mendapat pembelaan serta haknya dilindungi mahupun dipertahankan.

Kepada mangsa keganasan rumahtangga ini, beliau menasihatkan mereka supaya melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa di samping menjalani rawatan termasuk kaunseling bagi memulihkan emosi serta semangat mereka.

“Mangsa sudah pasti mengalami trauma selain penderitaan fizikal dan mental. Rawatan kaunseling adalah antara alternatif terbaik untuk mereka kembali kepada kehidupan sediakala.

“Kami di JUITA juga bersedia untuk membantu sekiranya mereka ingin berhubung dengan pihak kami. Insya-Allah, kami akan cuba membantu sebaiknya supaya mereka dapat memulakan kehidupan yang baharu,” katanya.

Pembabitan JUITA Dalam Kempen Kesedaran Anti pemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran

Pada hari ini, golongan wanita sangat terdedah kepada bahaya khasnya dalam kes pemerdagangan dan penyeludupan manusia. Sehubungan itu, JUITA turut melunaskan tanggungjawab sosialnya dengan bekerjasama dengan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dalam pelancaran Kempen Kesedaran Anti pemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran Peringkat Negeri Johor, di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, baru-baru ini.

Program ini mensasarkan segenap golongan wanita iaitu remaja, belia, wanita berkerjaya, ibu tunggal dan warga emas. Program murni ini bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran awam terhadap punca serta kesan perbuatan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Pembabitan Sukarelawan Dalam JUITA

JUITA ditubuhkan pada 15 Oktober 1994. Sepanjang penubuhannya, JUITA aktif dalam menjalankan kerja amalnya tanpa mengira masa dan keringat yang dikeluarkan. Pelbagai program dijalankan sepanjang tahun dan penyertaan ahli dalam setiap program amat memberangsangkan.

Melihat kepada kepelbagaian program yang dianjurkan, JUITA tidak menolak sebarang cadangan untuk melibatkan wanita daripada pelbagai golongan yang bukan daripada kalangan ahli JUITA, untuk turut serta menyumbang bakti.

Rosni berkata, contohnya Program Latihan Spa Untuk Ibu Tunggal merupakan hasil kerjasama antara JUITA dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Johor (YPK).

Program Menjana Pendapatan Ibu Tunggal ini mensasarkan kalangan ibu tunggal yang tidak bekerja untuk mendapatkan latihan dalam pengurusan Spa. Latihan ini dapat memberi ilmu dan kemahiran kepada peserta dan secara tidak langsung mereka boleh menambah pendapatan bagi menyara keluarga dengan bekerja di spa-spa yang terdapat dalam pasaran kerja.

“JUITA sangat menggalakkan ibu tunggal mengambil kesempatan ini,” katanya.

Setakat ini, JUITA dengan kerjasama YPK telah dapat melatih ramai ibu tunggal dalam pengendalian spa dan kemahiran urutan refleksiologi. JUITA dan YPK telah menyediakan premis khas bagi program ini di Segamat, Johor.

“Pendedahan dan latihan ini sekali gus memberikan peluang ibu tunggal untuk menjana pendapatan. Ini merupakan antara tanggungjawab sosial JUITA dalam kerja amal kebajikan yang sering ditekankan oleh JUITA,” katanya.

Perkembangan Terkini JUITA

Selaku badan amal yang bergiat aktif, JUITA sentiasa mengorak langkah ke hadapan bagi memastikan fungsi dan peranannya dapat membantu golongan yang memerlukan seperti orang kelainan upaya, ibu tunggal dan asnaf.

Baru-baru ini, JUITA diberi kepercayaan untuk mengendalikan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Barisan Nasional SeMalaysia di Johor Bahru dan Program Gen-Y 2014 di Educity, Nusajaya.

Program berlangsung 22 hingga 24 Januari 2014 itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan bukan sahaja daripada kalangan ahli, malah semua persatuan isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional di seluruh negara. Program Gen-Y 2014 pula adalah program yang julung-julung kalinya diadakan oleh Badan Amal Bukan Kerajaan khusus untuk Generasi Y di Johor.
“Bukan mudah untuk kita menganjurkan program seumpama ini. Tetapi saya bersyukur kerana setiap ahli memberikan komitmen dan kerjasama yang sangat baik. Sambutan masyarakat terhadap program ini juga amat membanggakan,” katanya.

Selain itu katanya, beliau mendapat dorongan yang kuat dan jitu daripada suami, YAB Dato’ Mohammed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor dan juga Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Perdana Menteri, merangkap Yang Dipertua BAKTI yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengelolakan program tahunan yang begitu mencabar.

“Semangat dan dorongan mereka menguatkan semangat saya. Pengalaman sepanjang berada dalam BAKTI telah saya aplikasikannya dalam JUITA. Saya juga bersyukur, di samping semangat juang yang tinggi daripada ahli-ahli JUITA dan Badan Amal Bukan Kerajaan di seluruh negeri seperti BAKTI dan sebagainya, kerjasama erat yang dipamerkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan, Negeri, penaja, GLC dan individu sememangnya tidak dinafikan banyak membantu saya dan rakan­-rakan melancarkan gerak kerja penganjuran kedua-dua program ini sehingga berjaya,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial