Sukarelawan ‘Rakan Taman’ Bantu Selenggara Taman-taman Awam Di Johor

img_0794

KULAI, 5 Nov – Kerajaan Negeri hari ini menyambut baik penubuhan satu gerakan sukarelawan yang dikenali sebagai Rakan Taman sebagai salah satu usaha dalam membantu menyelenggara taman-taman awam di seluruh negeri Johor.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata usaha itu juga adalah antara pendekatan yang melibatkan orang awam untuk bersama-sama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menjayakan tujuan tersebut.

“Sejajar dengan Pelan Transformasi PBT melalui Teras 5, iaitu Penglibatan Rakyat, saya amat berharap setiap PBT akan berusaha lebih gigih untuk menarik dan menggerakkan komuniti untuk bersama-sama menjaga landskap dan persekitaran.

“Malah dengan adanya Rakan Taman ini, saya percaya ia dapat membantu mengurangkan kes-kes salah laku seperti vandalisme, pencerobohan kawasan taman dan seterusnya membantu mengurangkan kos-kos penyelangaraan taman.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Hari Landskap Peringkat Negeri Johor 2016, di Hutan Bandar, Bandar Putra Kulai, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd. Latif Bandi; Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Ismail Karim dan Pengarah Jabatan Landskap Negeri Johor, Zainal Eran.

Mohamed Khaled turut berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Landskap Negeri Johor juga telah memperuntukkan sebanyak RM100 ribu pada tahun hadapan bagi menjayakan perkara itu.

“Peruntukan ini diharapkan dapat membantu Rakan-rakan Taman menganjurkan aktiviti-aktiviti rekreasi dan riadah untuk menyemarakkan fungsi taman.

“Ia juga bagi mengalakkan penubuhan Rakan-rakan Taman yang telah ditubuhkan bergerak dengan lebih aktif dengan penglibatan semua pihak ke arah menjadikan persekitaran kawasan kediaman dan negeri Johor lebih baik, hijau dan lestari,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menekankan mengenai aspek-aspek penting yang perlu diberi perhatian serius.

“Salah satu aspek penting yang perlu diberikan perhatian serius adalah faktor keselamatan dan kebersihan persekitaran.

“Malah, penjagaan landskap juga berupaya dan mempengaruhi keberkesanan proses untuk mengelak dan membendung wabak penyakit seperti denggi dan zika, yang amat berkait rapat dengan keadaan persekitaran.

“Untuk itu, pada tahun hadapan, melalui Program COMBI di bawah kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, kesemua 16 PBT di Johor akan terlibat dengan lebih aktif dalam usaha-usaha memastikan persekitaran dan landskap yang lebih bersih dan sihat,” katanya.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM 1 juta pada tahun hadapan agar perkara itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan lancar.

Sambutan Hari Landskap kali ini bertemakan ‘Bersama Komuniti Landskap Berfungsi’, yang menyeru masyarakat untuk bersama-sama menyedari dan menghayati peranan bagi menjadikan Johor Negeri Taman Terindah.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial