Sultan Ibrahim Lancar Projek Bukit Pelali@Pengerang

PENGERANG, 21 Mei – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar melancarkan projek perbandaran strata pertama di Pengerang yang dimajukan oleh Astaka Holdings Limited (Astaka) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM2.3 billion.

Projek Bukit Pelali@Pengerang (Bukit Pelali) yang bakal merancakkan lagi pembangunan di Pengerang terutama bagi Kompleks Bersepadu Pengerang (PIPC) akan dibangunkan dalam 10 fasa secara berperingkat bagi tempoh sehingga 10 tahun akan datang dengan fasa 1A sudah 50 peratus terjual.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, diiringi Pengasas Astaka, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman (tiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Astaka, Datuk Zamani Kasim (dua dari kanan) berkenan melihat projek perbandaran strata pertama di Pengerang yang akan dimajukan oleh Astaka Holdings Limited (Astaka) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM2.3 billion, ketika majlis pelancaran projek dan pembukaan galeri jualan Bukit Pelali, Pengerang di Kota Tinggi. – Foto NSTP

Apabila siap sepenuhnya, projek yang berkeluasan 145.2 hektar itu akan mempunyai 3,884 unit kediaman termasuk 1,598 unit bagi Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), kedai pejabat, rumah kelab, hotel, hospital swasta, pusat beli belah, masjid, stesen minyak dan kedai makan.

Ketua Pegawai Eksekutif Astaka, Datuk Zamani Kasim, berkata 50 peratus fasa 1A yang sudah terjual itu membabitkan 243 kediaman teres dan 19 lot kedai pejabat yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018.

“Fasa 1B yang menawarkan 143 kediaman teres dua tingkat, 72 rumah jenis kluster dan 10 unit kediaman Semi-d dijangka siap pada tahun 2019.

“Kita juga sudah mendapatkan kelulusan kawasan daripada Kementerian Kesihatan pada Mac lalu bagi tujuan membina kemudahan hospital swasta dalam kawasan projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran projek dan pembukaan galeri jualan Bukit Pelali di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday dan Pengasas Astaka, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman.

Zamani berkata, projek berkenaan dijangka dapat menyokong pembangunan PIPC yang sedang giat berlaku selain menjadi pemaju pertama membangunkan perbandaran strata di kawasan Pengerang bagi kemudahan orang ramai.

“Kami bukan membina rumah semata-mata, tetapi projek ini adalah pembangunan sebuah bandar yang lengkap dan melengkapi projek pembangunan mega lain di sekitar kawasan seperti PIPC dan taman tema di Desaru nanti,” katanya. – Berita Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial