Sultan Ibrahim Rasmi Festival Chingay

JOHOR BAHRU 19 Feb. – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Festival Perarakan Chingay 2017 di Jalan Wong Ah Fook di sini malam semalam.

Sultan Johor yang berangkat pukul 9 malam turut diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail sebelum mencemar duli mengetuk gendang di pentas utama.

Yang hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Duta Besar China, Dr. Huang Huikang dan Konsul Jeneral Singapura ke Johor, Rajpal Singh.

Di samping itu, turut sama Ke­tua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan ne­geri, Datuk Tee Siew Kiong dan Presiden Persatuan Tionghua Johor, Datuk Seri Tey Kim Chai.

Terdahulu perarakan Chingay bermula dari Kuil Xing Gong pukul 7 malam melalui Jalan Ulu Air Molek, Jalan Yahya Awal, Jalan Ayer Molek, Jalan Ibrahim, Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Tun Razak.

Setelah menamatkan perarakan sepanjang kira-kira 10 kilo­meter di Kuil Xing Gong, perarakan bersambung pada pagi esok menuju ke Kuil Kuno di Jalan Trus.

Dianggarkan seramai 30,000 peserta dari lima suku Tionghua iaitu Hokkien, Hakka, Hai Nam, Kong Siew Techew mengambil bahagian dalam perarakan kali ke-46 itu dengan membawa sebanyak 40 kereta berhias.

Kira-kira lebih 200,000 pe­ngunjung termasuk dari luar negara menghadiri perarakan Chingay pada tahun ini. – Utusan

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial