Sultan Johor Berangkat Pulang

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli memandu lokomotif ‘Blue Tiger’ yang membawa kereta api khas dari Stesen Kuala Lumpur ke Segamat, Johor. – Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini berkenan memandu kereta api sewaan khas dari Stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Kuala Lumpur ke Stesen KTMB JB Sentral.

Baginda mula memandu pada jam 9.55 pagi dan tren enam gerabak Tanjung Kupang 26108 itu dijangka tiba di Stesen KTMB JB Sentral pada jam 3.55 petang bagi perjalanan sejauh 296 kilometer.

Tren berkenaan dijangka singgah ke Segamat dan Kluang sebelum tiba ke Johor Bahru.

Baginda tiba di Stesen KTMB Masjid Negara pada jam 9.30 pagi tadi dengan menaiki gerabak penumpang bersama keluarga diraja dan kakitangan KTMB dari Platform 4, Stesen KTMB Kuala Lumpur.

Tepat jam 9.54 pagi, baginda yang berbaju batik hijau memasuki gerabak pemandu bagi memulakan perjalanan.

Pemanduan kereta api kali ini adalah yang ke-16 disempurnakan baginda.

Sultan Ibrahim mencipta rekod Malaysia Book of Records apabila menjadi Sultan pertama di negara ini memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada tahun 2010 dan pernah memandu kereta api pada program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010.

Baginda mendapat lesen memandu kereta api dan melakukan prosedur `turn table’ bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan, sekali gus diiktiraf sebagai Sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari. – Berita Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial