Sultan Johor Menyelam Rasmi Program Restorasi Anak Karang

MERSING, 7 Ogos – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melakukan aktiviti menyelam pagi tadi untuk menyempurnakan program restorasi penanaman 1,200 anak karang terbesar bagi mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Sultan Ibrahim yang tiba di Pulau Tinggi pada pukul 9.30 pagi tadi selesai melakukan aktiviti menyelam di Pulau Mentinggi yang terletak di Pusat Taman Laut (PTL) Pulau Tinggi, kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

Program restorasi karang terbesar yang dilakukan serentak seluruh negara itu diadakan sempena 10 tahun penubuhan Jabatan Taman Laut Malaysia dan Hari Laut Sedunia 2017.

Tuanku melakukan selaman diikuti tiga kumpulan lain bagi menyempurnakan acara penanaman 1,200 anak karang di 20 struktur kerangka polivinil klorida (PVC).

Majlis kemudian diteruskan dengan acara menandatangani plak pengesahan MBOR yang disempurnakan Sultan Ibrahim sambil disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar, merangkap wakil MBOR.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat; Timbalan Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia, Rahim Goriaman dan Pegawai Daerah Mersing, Ashari Kasnan.

Selain Pulau Tinggi, program restorasi karang dijalankan serentak di semua lima PTL iaitu Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu, Pulau Tioman di Pahang, Pulau Payar di Kedah serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Jumlah keseluruhan anak karang yang diletakkan di semua PTL terbabit adalah sebanyak 7,200. – Berita Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial