SULTAN JOHOR NASIHATKAN ANGGOTA REJIMEN GERAK KHAS TIDAK TERLIBAT POLITIK

photo_2015-08-26_10-49-29

MERSING, 25 Ogos (Bernama) — Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menasihatkan anggota Rejimen Gerak Khas agar tidak melibatkan diri dalam mana-mana parti politik demi menjaga nama baik rejimen tersebut dan tidak menerima bulat-bulat penyebaran maklumat menerusi internet.

Baginda turut menegur sikap ramai pemimpin tentera dan pegawai kehormat yang memakai pelbagai lencana dan sayap kehormat masing-masing sepanjang masa kerana berdasarkan tata cara pemakaian, ia perlu dipakai semasa majlis yang berkenaan sahaja.

"Jika betul-betul ingin memakai lencana sayap sepanjang masa, saya syorkan buatlah terjunan dahulu. Sekurang-kurangnya sayap yang tersemat di dada itu benar-benar mempunyai nilainya dan bukannya hanya sebagai hiasan yang memenuhi uniform," titah baginda.

Panglima Tentera Darat Tan Sri Raja Mohamad Affandi Raja Mohamed Noor menerima beret hijau pada perbarisan hari ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-50 Jubli Emas di Kem Iskandar

Sultan Johor bertitah demikian pada perbarisan hari ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-50 Jubli Emas di Markas 21 Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, di sini.

Sultan Ibrahim juga mengingatkan semua anggota rejimen itu supaya bersiap sedia menghadapi cabaran mendatang dalam era ketenteraan yang semakin membangun dan moden sekarang.

Baginda berharap Kementerian Pertahanan dapat memberi perhatian terhadap keperluan rejimen itu memandangkan pasukan itu merupakan barisan hadapan dalam menangani insiden melibatkan kedaulatan serta kemananan negara.

Baginda menegaskan kehadirannya sebagai Kolonel Komandan dalam rejimen berkenaan juga bukan sebagai 'patung' tetapi akan bersama-sama memastikan rejimen itu terus maju.

Baginda turut melahirkan rasa kecewa kerana beberapa rancangan untuk memajukan lagi rejimen itu dengan kemudahan baharu masih belum terlaksana.

Mengenai ulang tahun ke-50 rejimen yang ditubuhkan pada 1 Ogos 1965 itu, baginda meminta anggota pasukan berkenaan memperkasa institusinya sepenuh hati memandangkan kejayaan yang diperoleh hari ini adalah hasil penat lelah pejuang terdahulu.

Sepanjang perjalanan 50 tahun yang lalu, telah banyak bakti dan pengorbanan dicurahkan oleh para komando terdahulu dan tidak kurang juga ada dalam kalangan mereka yang gugur, titah baginda.

— BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial