Sultan Johor Pandu Kereta Api JB – KL

JOHOR BAHRU, 26 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini berkenan memandu kereta api sewaan khas sejauh 296 kilometer dari Stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) JB Sentral, di sini ke Stesen KTMB Kuala Lumpur.

Baginda mula memandu pada jam 9.27 pagi, sebelum tren enam gerabak itu tiba di stesen KTMB Kluang jam 11.15 pagi.

Tren berkenaan dijangka sampai di Stesen KTMB Kuala Lumpur jam 3.58 petang ini dan baginda akan memandu pulang kereta api ke Segamat pada 29 Mac ini selepas bercuti di Kuala Lumpur.

Baginda yang tiba jam 9 pagi tadi di stesen JB Sentral dilihat menaiki gerabak pemandu kereta api bernombor 1002 yang membawa penumpang terdiri daripada keluarga Diraja dan kakitangan KTMB berlepas dari Platform 4, JB Sentral.

Antara yang hadir di JB Sentral mengiringi baginda sebelum bertolak termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), A Rahim Nin dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Muhamad Fuad Radzuan.

Sultan Ibrahim mencipta rekod Malaysia Book of Records apabila menjadi Sultan pertama di negara ini memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada tahun 2010 dan pernah memandu kereta api pada program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010) pada tahun sama.

Baginda mendapat lesen memandu kereta api dan melakukan prosedur “turn table” bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan, sekali gus diiktiraf sebagai Sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari. – Berita Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial