Sultan Johor puas hati pentadbiran Menteri Besar

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim memuji pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan kepimpinannya kerana berjaya menjadikan Kerajaan Johor bebas daripada hutang dalam tempoh setahun memegang jawatan itu.

Titah baginda, berdasarkan laporan kewangan Kerajaan Negeri pada tahun 2013, buat pertama kalinya Kerajaan Negeri mempunyai baki lebihan dengan jumlah yang besar iaitu RM 485 juta.

“Dengan adanya lebihan wang, barulah kerajaan boleh merancang perbelanjaan yang seimbang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang diharapkan oleh rakyat.

 “Saya berharap, prestasi yang baik ini akan dapat dikekalkan kerana saya tidak suka kerajaan saya berhutang,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan penggal kedua Sidang Dewan Undangan Negeri Johor Ke-12 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini hari ini.

Baginda turut menggesa kerajaan negeri itu untuk mengkaji kesesuaian sektor swasta untuk meminda hari rehat kepada hari Jumaat dan Sabtu, selaras dengan sektor awam.

Baginda bertitah, langkah untuk menukar hari cuti rehat hujung minggu baru-baru ini, menerima aduan terutamanya daripada ibu bapa yang bekerja di sektor swasta.

"Ibu bapa yang bekerja di sektor swasta mengadu bahawa mereka tidak mempunyai masa secukupnya bersama anak-anak kerana mereka terpaksa bekerja pada hari Jumaat.

"Oleh itu, beta menyeru kerajaan negeri untuk mengkaji semula kesesuaian menyelaraskan hari rehat kepada hari Jumaat dan Sabtu untuk semua sektor," titahnya.

Dalam pada itu, baginda turut menitahkan Kerajaan Negeri supaya menubuhkan pasukan khas untuk memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tentang Pulau Batu Putih yang sebelum ini memihak kepada Singapura.

Baginda bertitah, Johor berbeza dengan negeri-negeri lain kerana mempunyai 'jiran sebelah' yang merupakan sebuah negara maju, malah sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan Johor kerana saling bergantung antara satu sama lain.
"Oleh yang demikian, walaupun hal ehwal luar negara terletak di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan, adalah tidak wajar jika kerajaan Johor tidak dimaklumkan atau tidak dibawa berunding dalam perkara yang melibatkan kepentingan Johor dan Singapura. Bukankah orang Johor lebih memahami tentang jirannya berbanding orang di Putrajaya?

"Bagaimanakah pihak Persekutuan lebih tahu tentang keperluan atau kehendak negeri dan rakyat Johor? Inilah kesannya apabila orang luar yang tidak faham tentang sejarah dan kedaulatan negeri Johor (tetapi) diberikan tugas untuk mempertahankan kes tersebut," titah baginda.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial