Sultan Johor Rasmi Peti Pos Dasar Laut Diraja

MERSING. 22 AUGUST 2016. Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bersiap sedia untuk menyelam ke dasar laut Pulau Mensirip bagi merasmikan Peti Pos Dasar Laut Diraja pertama di Malaysia dan meletakkan logo Sultan Johor di atas Peti Pos Dasar Laut Diraja yang turut tersenarai di dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Peti Pos Dasar Laut Diraja yang pertama dipasang di negara ini sempena Kembara Jelajah Pulau Mersing 2016 di Pulau Mensirip, Mersing. NSTP/Zain Ahmed
Sultan Ibrahim bersiap sedia untuk menyelam ke dasar laut Pulau Mensirip bagi merasmikan Peti Pos Dasar Laut Diraja pertama di Malaysia dan meletakkan logo Sultan Johor di atas Peti Pos Dasar Laut Diraja. [Foto : Zain Ahmed]

MERSING, 22 Ogos – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan merasmikan Peti Pos Dasar Laut Diraja di perairan Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI) berhampiran Pulau Mensirip pada hari kedua Kembara Jelajah Pulau Mersing, hari ini.

Sultan Ibrahim yang tiba pada jam 8 pagi diiringi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar kemudian bersiap dengan kelengkapan sebelum menyelam ke dasar TLSI selama 15 minit.

Peti Pos itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Peti Pos Dasar Laut Diraja yang pertama dipasang di negara ini.

Baginda yang tiba di dasar TLSI kemudian berkenan menyempurnakan gimik pelancaran dengan meletakkan logo Sultan Johor di atas peti surat itu sebelum menjadi yang pertama meletakkan poskad khas kalis air dalamnya.

Pada majlis sama, Sultan Ibrahim turut berkenan menyempurnakan penanaman terumbu karang tiruan pertama di Malaysia, yang turut diiktiraf oleh MBOR di Taman Terumbu Karang Tunku Laksamana.

Taman terumbu karang tiruan itu turut menampilkan 42 bingkai terumbu karang yang dibentuk dalam susunan ‘TLCG’ (Tunku Laksamana Coral Garden) bagi memperingati Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata pemasangan peti pos terbaharu itu adalah hasil usaha sama di antara Pos Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan kerajaan Johor dalam mempromosikan segmen pelancongan pos di negara ini.

“Ia kesinambungan kejayaan Pos Malaysia sebelum ini dalam menyediakan dan memasang peti pos di altitud tertinggi di puncak Gunung Kinabalu, diikuti peti pos dasar laut terdalam di Pulau Layang-Layang yang mana kedua-duanya terletak di Sabah, serta peti pos terselatan di Benua Asia di Tanjung Piai, Pontian.

“Pos Malaysia ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Sultan Johor kerana memberi restu dan perkenan Baginda serta kepada Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) dan Pejabat Daerah Mersing atas kerjasama mereka bagi merealisasikan projek ini.

“Kami berharap inisiatif ini akan terus menggalakkan pelancong antarabangsa dan tempatan untuk merasai pengalaman yang menakjubkan di TLSI,” katanya. – Berita Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial