Sultan Johor Ucap Tahniah Kepada Kerajaan Negeri

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan bertitah pada Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor Tahun 2017 di Istana Besar Johor Bahru, hari ini. Foto : Jabatan Penerangan Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 23 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana berjaya mengekalkan kemajuan ekonomi dan kestabilan sosial masyarakat di negeri ini.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda percaya kejayaan yang telah dicapai adalah hasil daripada kesungguhan semua pemimpin dan anggota perkhidmatan awam, selain sokongan masyarakat yang sentiasa bermuafakat.

“Tahniah saya ucapkan kepada kerajaan negeri kerana telah berjaya mengekalkan kemajuan ekonomi dan kestabilan sosial masyarakat di negeri Johor ini.

“Saya percaya, segala kejayaan yang telah dicapai adalah hasil usaha semua pemimpin dan anggota perkhidmatan awam yang bersungguh-sungguh memikul tanggungjawab serta disokong oleh masyarakat yang hidup bersatu-padu dan bermuafakat.

“Walau apa juga rintangan atau masalah yang timbul, janganlah kita mengalah atau patah semangat. Carilah punca dan penyelesainya. Bak kata pepatah ‘kusut di hujung, balik ke pangkal’,” titah Sultan Johor.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor Tahun 2017 di Istana Besar Johor Bahru, hari ini.

Sempena Majlis Istiadat tersebut Sultan Johor turut berkenan mengurniakan darjah dan pingat kebesaran negeri Johor kepada individu yang layak berdasarkan merit dan taat setia.

“Pada tahun ini, saya telah berkenan untuk mengurniakan darjah dan pingat kebesaran negeri Johor kepada beberapa individu yang saya fikirkan layak berdasarkan kepada merit dan taat setia individu berkenaan kepada saya dan Kerajaan Johor.

“Darjah kebesaran negeri Johor ini amat tinggi nilainya dan tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi cadangan nama, kecuali atas titah perkenan saya sendiri.

“Oleh itu, suka saya ingatkan, terutama kepada orang di luar Johor, supaya jangan tertipu jika ada orang yang mengatakan darjah Negeri Johor boleh dibeli dengan bayaran wang Ringgit. Tetapi jika masih ada yang sanggup ditipu, terpulanglah, jangan salahkan saya,” titah baginda lagi.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mendahului senarai 102 penerima darjah kebesaran dan pingat pada Majlis Istiadat tersebut.

Baginda dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ), manakala Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Pertama (PSI I) dianugerahkan kepada semua lima anakanda pasangan diraja berkenaan.

Penerima lain PSI I ialah Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, manakala Raja Dihilir Perak, Datuk Seri Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah menerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (DK II).

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial