Sumbangan JCorp, YPJ kepada Negeri

Nusajaya: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Johor Corporation (JCorp) membuat pembayaran tunai kepada kerajaan negeri pada kadar 10 peratus daripada pembayaran dividen diterimanya dalam usaha menyumbang kepada pembangunan di Johor.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata selain itu JCorp turut membuat sumbangan tunai tidak langsung kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Johor berjumlah RM627.79 juta sehingga kini sejak tahun 1989.

Katanya, ia termasuk sumbangan tunai bagi tujuan Skim Belian Balik Amanah Saham Johor (ASJ) bernilai RM224.66 juta, Skim Dana Johor (SDJ) pada harga RM1 seunit dan Skim Belian Balik pada harga 50 sen berjumlah RM250.40 juta, penajaan kepada Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) serta sumbangan lain berjumlah RM125 juta.

"Sejak dari tahun 1989, pulangan tunai yang diterima kerajaan negeri daripada JCorp adalah sebanyak RM78.98 juta dan sebagai agensi pembangunan negeri terpenting, JCorp memainkan peranan penting dalam usaha mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ali Mazat Salleh (BN-Bukit Permai) berhubung jumlah pulangan dalam bentuk tunai dibayar semula kepada kerajaan negeri oleh JCorp dan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor kali ke-13, di sini semalam.

Mohamed Khaled berkata, meskipun YPJ tidak menyalurkan pulangan tunai, namun agensi berkenaan bersama membantu kerajaan negeri dalam menyediakan dana bagi pembiayaan biasiswa, pinjaman, tuisyen dan bantuan pendaftaran melanjutkan pengajian.

"YPJ ditubuhkan bagi mengurus keperluan pembiayaan pinjaman serta biasiswa dan sehingga Mei 2014, YPJ membelanjakan sebanyak RM291.3 juta dalam bentuk penyediaan bantuan pendidikan kepada anak Johor.
"Ini semua jelas bahawa kedua-dua agensi Kerajaan Negeri banyak memberi sumbangan kepada Johor tidak kira secara langsung atau tidak dalam tempoh 10 tahun kebelakangan," katanya.

Mengenai soalan tambahan yang dibangkitkan Tan Chen Choon (DAP-Jementah) berhubung isu pembelian balik SDJ, Mohamed Khaled berkata, Jcorp kini dalamp proses merancang peringkat keempat pembelian SDJ berikutan tempoh peringkat ketiga tamat Jun ini.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial