Sumbangan Sempena Aidilfitri Bagi 476 Penerima


Pasir Gudang, 16 Jun – Seramai 476 golongan kurang berkemampuan termasuk ibu tunggal di sini menerima sumbangan pelbagai keperluan harian hari ini, bagi meringankan beban mereka untuk membuat persiapan Aidilfitri.

Sumbangan itu adalah kerjasama antara Yayasan Tabung Haji serta Biro Keahlian dan Daftar Pemilihan (BKDP) UMNO.

Kesemua mereka menerima barang keperluan harian seperti beras dan juga duit raya.

Majlis penyampaian bantuan disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin pada Program Ziarah Kasih Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Mawar di sini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang juga Ahli Lembaga Pengarah TH, Tan Sri Mohamad Aziz, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Dato’ Normala Abdul Samad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim.

Sementara itu, Mawar Mashud, 47, yang mewakili kakaknya Maimunah Mashud, 51, menerima bantuan berkenaan, berkata sumbangan barangan itu banyak meringankan beban keluarga mereka terutama menjelang Aidilfitri.

“Sumbangan yang disampaikan pada hari ini membolehkan kami menjimatkan beberapa ratus ringgit semata-mata untuk membeli barang keperluan pada hari lebaran.

“Saya berterima kasih kepada menteri besar dan pelbagai pihak yang telah menyumbang barang ini,” katanya ditemui selepas program terbabit.

Bagi suri rumah, Rohani Mohd Yusof, 63, yang mewakili anak perempuannya, Farah Diba Abd Karim, 32, pula berkata sumbangan itu amat bermakna buat anaknya yang juga ibu tunggal untuk bersiap sedia menghadapi ketibaan Aidilfitri nanti.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, seramai 1,500 penerima sebenarnya yang mendapat sumbangan berkenaan secara berperingkat di Pasir Gudang.

Katanya, 750 penerima menerima sumbangan daripada Yayasan Tabung Haji, manakala 750 penerima lagi oleh UMNO pusat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300,000.

“Sebanyak RM150,000 daripada yayasan, manakala RM150,000 lagi daripada UMNO pusat untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial