Suwara Tarik Minat Belia Terlibat Sukarelawan

Suwara tarik minat belia terlibat sukarelawan
Antara peserta yang menyertai Kursus Sukarelawan Belia Peringkat Wilayah Kejora.

KOTA TINGGI – Kursus Sukarelawan Belia Peringkat Wilayah Kejora ( Suwara) disertai 57 belia, merupakan usaha Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) untuk menarik belia melibatkan diri dalam bidang kesukarelawan.

Penolong Pengurus Bahagian Kerajaan Tempatan Kejora, Shahrul Shafique Hamidon berkata, program mendapat penyertaan belia berusia antara 18 tahun hingga 35 tahun menetap di sekitar kawasan wilayah Kejora, termasuklah pelajar Kolej Komuniti Bandar Penawar dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar.

Menurutnya, ia diadakan selama tiga hari di Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat Selangor, bertujuan mengajak belia dalam wilayah Kejora agar sedia memberikan khidmat masyarakat kepada orang ramai.

“Program ini juga adalah sebagai langkah permulaan untuk aktiviti sukarelawan bagi Suwara di bawah Kejora.

Antara pengisian kursus termasuklah sesi ice breaking, taklimat dan perkongsian daripada Sukarelawan Darul Takzim (SDT), selain aktiviti flying fox, merempuh halangan dan jungle tracking yang diadakan pada waktu malam.

“Kursus sama turut diisi dengan program sukarelawan gotong- royong di Masjid Qariah Lubok Kelubi, Hulu Langat Selangor yang turut disambut baik kepimpinan kampung berkenaan,” katanya.

Terdahulu majlis penutupan program disempurnakan Timbalan Pengurus Besar, Pembangunan Kejora, Hamzah Isa.

Hamzah dalam ucapannya berkata, beliau turut menyokong program dianjurkan itu serta turut menekankan kepentingan asas-asas kepimpinan belia yang menjadi sebahagian aset negara, dalam mencapai Wawasan 2020 dan pembangunan negara. – SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial