T20 Cungkil Atlet Berpotensi, Persediaan SUKMA 2020

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan.

ISKANDAR PUTERI, 14 Mei – Program Titanium 20 (T20) adalah antara persediaan yang akan dilaksanakan bagi mengenal pasti atlet berpotensi serta sebagai persediaan Johor menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata program T20 juga turut memberi penumpuan kepada beberapa acara sukan yang menawarkan pingat yang banyak kepada kontinjen Johor.

Katanya, atlet yang berpotensi akan mengikuti empat siri latihan membabitkan empat peringkat iaitu fasa pertama pada Jun 2017 hingga Mei 2018, Jun 2018 hingga Mei 2019 (fasa dua), Jun 2019 hingga Disember 2019 (fasa tiga) dan Januari 2020 hingga SUKMA 2020 (fasa empat).

“Bagi peringkat awal, program pencarian atlet berpotensi dilaksanakan di peringkat sekolah lagi dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri sejak tahun 2014 yang kemudiannya akan ditempatkan di sekolah yang menyertai Program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) di setiap daerah.

“Atlet ini kemudian akan diberi latihan dan pemantauan berterusan selain perlu menyertai sirkit olahraga sekolah Johor sebagai medan menguji prestasi semasa mereka, pada masa sama memberi pendedahan bersaing dan meningkatkan kekuatan mental serta fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan pada persidangan Dewan Negeri Johor ke-13 di Kota Iskandar, hari ini.

Pada sesi penggulungan itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri masih belum memutuskan apa-apa tindakan untuk membina litar basikal lajak kerana banyak perkara yang perlu diambil perhatian termasuk kesannya terhadap perkembangan remaja pada masa akan datang.

“Kita tidak mahu aktiviti basikal lajak remaja ini menjadi asas kepada penularan perlumbaan haram motosikal apabila mereka meningkat usia.

“Kita juga perlu mengambil kira sama ada aktiviti ini akan kekal lama ataupun hanya menjadi trend sementara waktu yang akhirnya akan menyebabkan pembaziran wang kerajaan.

“Mereka mempunya pelbagai pilihan untuk menertai sukan lasak yang lain seperti basikal BMX, papan luncur, wall climbing, flying fox dan lain-lain lagi yang telah disediakan infrastrukturnya seperti di Pasir Gudang, di Hutan Bandar MBJB, Danga Bay, Tasik Merdeka dan Kompleks Belia dan Sukan di Larkin,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial