Tabung Kemanusiaan ‘JCorp-KMJ Prihatin Aceh’ Dilancar

img_3953
Kamaruzzaman (dua kanan) menyerahkan cek bernilai RM35,000 kepada Mohd Fauzi (tiga kiri) pada Majlis Pelancaran Tabung Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi Aceh.

JOHOR BHARU, 8 Jan – Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Aceh ‘Jcorp-KMJ Prihatin Aceh’ dilancarkan hari ini dalam usaha membantu mangsa gempa bumi di negara jiran itu, baru-baru ini.

Pelancaran tabung berkenaan merupakan kerjasama antara Johor Corporation (JCorp) bersama Kelab Media Johor (KMJ).

Majlis disempurnakan Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin di Galleria@Kotaraya, di sini.

Tabung bantuan kemanusiaan itu diwujudkan bagi membantu mangsa yang terjejas akibat gempa bumi di wilayah Aceh pada Disember tahun lalu yang turut mengorbankan nyawa, kecederaan, kehilangan tempat tinggal serta pelbagai kerosakan di Kabupaten Pidie, Pidie Jaya dan Bireuen.

Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Mohd Fauzi Ishak berkata pihaknya bersama JCorp telah mengadakan kunjungan awal ke wilayah Aceh dan Kabupaten yang terjejas teruk akibat gempa bumi itu pada 3 hingga 5 Januari lalu.

“Kami dimaklumkan oleh wakil Bupati Pidie Jaya, bapak Said Mulyadi bahawa mereka amat memerlukan sumbangan tidak kira dalam bentuk wang ringgit mahupun bantuan fizikal daripada pelbagai pihak.

“Oleh itu, menerusi tabung kemanusiaan yang dilancarkan hari ini, wang yang dikumpul akan disumbangkan bagi membaik pulih sebuah masjid yang dibina pada tahun 1922 iaitu Masjid Ahlissilsilah.

“Sumbangan bagi menambah baik masjid ini merupakan atas cadangan dan nasihat daripada Bupati Pidie Jaya. Selain itu, kita juga akan menghulurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa gempa yang memerlukan,” katanya.

Tambung bantuan kemanusiaan itu akan ditempatkan di UTC@Galleria, Komtar JBCC dan Pasaraya A Mart Kempas untuk memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan.

Menurut Mohd Fauzi, hasil sumbangan akan diserahkan oleh JCorp dan KMJ dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi Aceh JCorp-KMJ Prihatin Aceh pada 25 hingga 27 Januari ini.

Kira-kira 20 pengamal media Johor bersama wakil dari JCorp akan turut serta dalam misi itu.

Rombongan misi bantuan ke Aceh turut akan melawati beberapa lokasi yang dilanda tsunami pada tahun 2004, selain berkunjung ke Asrama Anak Yatim Johor yang dibangunkan oleh Badan Perhubungan Umno Negeri Johor pada tahun 2005.

“Di sana kami akan menghulurkan sumbangan berdasarkan keperluan semasa kepada pihak asrama sambil beramah mesra dengan penghuninya,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri menerusi JCorp dan syarikat di bawah kumpulannya dalam menjayakan misi ini.

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial