TAK RAMAI TAHU ADA FERI KE INDONESIA DARI MUAR

feri ke indonesia

MUAR- Pasti ramai yang sudah biasa ke Indonesia menerusi Stulang Laut dan Pasir Gudang di Johor Baharu, tetapi mungkin tidak ramai yang sedar di sini juga ada laluan sah untuk ke negara jiran kita itu yang telah beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu.

Ini bukannya laluan tikus tetapi dikawal oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Malaysia sepenuhnya sebagaimana pintu masuk lain ke negara ini tanpa sebarang kompromi.

Seperti kata Pegawai Imigresen Cawangan Muar, Khairil Anuar (gambar) yang bertugas di Terminal Feri Bandar Maharani Bandar Diraja, siapa sahaja yang didapati melanggar peraturan dan undang-undang negara ketika keluar-masuk ke negara ini tidak akan terlepas daripada hukuman.

“Tempat ini mungkin tak dikenali ramai tetapi orang yang keluar masuk melalui laluan ini tidak pernah putus setiap hari baik warga asing mahupun orang tempatan yang mahu ke Indonesia.

“Feri di sini akan membawa penumpang untuk ke Bengkalis, Indonesia yang mengambil masa lebih kurang dua jam perjalanan sehala,” katanya.

Menurut beliau lagi, mana-mana pengunjung yang didapati melakukan kesalahan ketika keluar masuk ke negara ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Kalau ada warga asing yang tiba dengan syarat dan dokumen perjalanan yang tidak lengkap, kita akan tahan dan hantar mereka balik ke negara asal dengan serta merta.

“Sehingga hari ini, keadaan semuanya terkawal dan mereka yang tertangkap melakukan kesalahan, tidak pernah lagi terlepas masuk ke negara ini melalui pintu masuk di sini,” ujarnya.

 Menurut Khairil, feri di jeti ini hanya beroperasi dua kali sehari kecuali Ahad iaitu untuk perjalanan pergi dan balik sahaja.

 “Feri yang memuatkan 200 penumpang akan bergerak ke Bengkalis pada pukul 10 pagi dan sebuah lagi akan tiba ke Muar pada sebelah petang pada pukul5.

“Setiap hari, tidak kurang daripada 100 orang akan menggunakan laluan ini untuk keluar-masuk Malaysia kecuali pada musim perayaan yang mana bilangannya melebihi muatan feri.

“Pun demikian, hanya 200 orang sahaja yang dibenarkan menaiki feri walau sesibuk mana sekali pun tanpa sebarang pengangkutan penambahan,” jelasnya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial