Tambang Bas Percuma Untuk Pelajar

01-01-2017_bas-sekolah
Hashim (tiga, kanan) memotong rambut seorang pelajar SMK Seri Bali pada program We Care We Share.

LABIS, 1 Jan. – Sebuah syarikat swasta milik anak tempatan di sini, membuat kelainan apabila memberi bantuan persekolahan berbentuk tambang bas, membaiki kerosakan rumah serta bantuan perubatan kepada keluarga pelajar miskin.

Pengarah Urusan STU Asia, Hashim Mohamad Kalang berkata, ketika ini hanya pelajar miskin dan kurang berkemampuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bali, Chaah, di sini, dipilih menjadi perintis program julung kali diadakan ini.

“Pihak kami dengan kerjasama pengurusan sekolah ini masih di peringkat menyenarai pendek nama pelajar miskin dan mereka yang kurang berkemampuan untuk menerima bantuan tersebut.

“Bantuan akan disalurkan kepada pelajar yang benar memerlukan bagi memastikan mereka tak hadapi masalah untuk hadir ke sekolah, serta tak dibelenggu masalah lain yang boleh jejaskan prestasi pelajaran,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita semasa program We Care We Share dan gunting rambut percuma di Dewan SMK Seri Bali, Chaah, di sini, baru-baru ini.

Hashim berkata, beliau tidak menafikan bantuan peralatan persekolahan banyak membantu golongan memerlukan dalam jangka masa pendek, namun mendapati terdapat keluarga yang memerlukan bantuan dalam jangka masa panjang.

Pada masa sama, beliau turut meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) agar memainkan peranan lebih aktif dalam usaha membantu pelajar kurang berkemampuan di sekolah masing-masing dengan cara melibatkan penyertaan swasta atau badan korporat.

Sementara itu, pengetua sekolah tersebut, Zabedah Abdul Hamid berkata, beliau melahirkan rasa syukur kerana STU Asia sudi menghulurkan pelbagai bantuan kepada pelajar kurang berkemampuan di sekolah berkenaan.

Katanya, beliau berharap pelajar yang terpilih menerima bantuan itu dapat memanfaatkannya sebaik mungkin untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam pelajaran serta kokurikulum.

“Sekolah juga sedang kumpul nama pelajar dikenal pasti tergolong dalam kelompok yang memerlukan bantuan, sebelum ia disenarai pendek mengikut keperluan mereka.

“Untuk dapat gambaran lebih jelas mengenai keperluan mereka, kami akan buat lawatan ke rumah mereka bagi menilai apakah mereka benar-benar layak jadi penerima bagi memastikan bantuan dihulurkan capai matlamat,” katanya. – Sinar Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial