Tanah Rosak Di Hutan Simpan Kluang Perlu Kembali Pulih

Kakitangan Pejabat Hutan Daerah bersama Pejabat Tanah daerah Kluang bekerjasama menanam pokok hutan di Hutan Simpan Kluang.
Kakitangan Pejabat Hutan Daerah bersama Pejabat Tanah daerah Kluang bekerjasama menanam pokok hutan di Hutan Simpan Kluang.

KLUANG – Sebanyak 1,500 pokok hutan pelbagai spesies ditanam di kawasan tanah seluas dua hektar sebagai tindakan segera selepas operasi penguatkuasaan hutan di kawasan Hutan Simpan Kluang berhampiran Kampung Gajah dijalankan dua minggu lepas.

Antara jenis pokok hutan ditanam di kawasan hutan simpan yang sebelum ini diceroboh secara haram termasuklah jenis meranti, cengal dan merawan.

Keluasan yang telah dibersihkan itu adalah sebahagian daripada 11.6 hektar tanah yang diteroka secara haram sejak 1980 selepas diambil tindakan pada 13 April lalu melalui operasi bersepadu Pejabat Hutan Daerah Johor Tengah Kluang.

Operasi yang dijalankan itu adalah secara bersepadu bersama Pejabat Tanah Daerah (PTD) Kluang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),  diketuai oleh Pentadbir Tanah Daerah Kluang, Mustaffa Kamal Samsuddin serta Pegawai Hutan Daerah Johor Tenggara Kluang, Ahmad Fikri Mustar.

Ahmad Fikri berkata, baki 9.6 hektar kawasan hutan simpan yang masih belum ditanam pokok hutan itu akan dilaksanakan program Kelestarian Alam Sekitar peringkat daerah Kluang melibatkan komuniti setempat, pelajar dan agensi kerajaan.

“Perkara ini perlu dilakukan sebagai usaha beri pendedahan kepada orang ramai berkaitan kepentingan menjaga hutan untuk terus kekal dengan tumbuhan-tumbuhan semula jadi bagi mengelakkan bencana berlaku.

“Ini kerana untuk menjadikan tanah yang telah dirosakkan kembali pulih kepada keadaan asal memerlukan masa sehingga lebih 100 tahun bagi mencapai tahap matang dan lebih kurang 50 tahun bagi tahap hutan remaja,” katanya selepas operasi menanam pokok hutan, semalam.

Ahmad Fikri berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi berkenaan secara berperingkat melibatkan kawasan yang telah dikenal pasti diterokai secara haram bagi membanteras terus kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

“Hari ini (semalam) seramai 60 kakitangan Jabatan Hutan Daerah Johor Tengah bersama kakitangan Pejabat Tanah Daerah Kluang berkampung sehari untuk melaksanakan kerja penanaman pokok hutan ini,” katanya.

Sementara itu, Mustaffa Kamal berkata, kawasan Hutan Simpan Labis berdekatan Sungai Sembrong yang ditanam kelapa sawit telah dimusnahkan dengan keluasan 60 hektar keseluruhannya.

“Setakat ini, pihak kami lantik sebuah agensi untuk tanam pokok hutan di atas kawasan seluas 9.6 hektar manakala baki 50.4 hektar akan dilaksanakan penanaman secara berperingkat sehingga semua kawasan dilitupi pokok,” katanya. – SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial