Tanah Terbiar Di Johor Bakal Dibangunkan

IMG_9831

NUSAJAYA: Terdapat lebih 2,500 hektar tanah terbiar di Johor telah dikenalpasti untuk  dimajukan sebagai kawasan pertanian menerusi program Pembangunan Tanah Terbiar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor Ismail Mohamed berkata tanah yang dikenalpasti  itu melibatkan 2,155 lot, milik 2,762 individu.

"Tanah terbiar bermaksud tanah darat atau tanah sawah berkeluasan 0.4 hektar ke atas. Ianya milik individu atau kerajaan dan rizab pertanian yang tidak diusahakan tiga tahun berturut-turut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab isu yang dibangkitkan M. Asojan (BN-Gambir) pada penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini, semalam.

Ismail berkata daripada 2,500 hektar tanah terbiar itu, 56.81 hektar melibatkan 67 lot di daerah Ledang, Johor Baharu (112.98 hektar, 148 lot), Kulaijaya (226.91 hektar, 101 lot), Batu Pahat (592.73 hektar, 485 lot) dan Pontian (211.71 hektar, 189 lot).

Beliau berkata 318 hektar lagi membabitkan 133 lot di Kluang, Kota Tinggi (171.07 hektar, 136 lot), Mersing (290.79 hektar, 272 lot), Muar (281.95 hektar, 224 lot) manakala Segamat (472.36 hektar, 400 lot).

Ismail berkata program tanah terbiar terbabit diwujudkan di bawah Program Galakan Usahawan (PGU) oleh Jabatan Pertanian menerusi peruntukan Pejabat Menteri Besar bagi mengurangkan jumlah tanah terbiar sedia ada di negeri itu.

Katanya program itu dirancang dengan teliti dan berperingkat supaya memberi impak dan mencapai objektif kerajaan dalam menangani isu membangunkan tanah terbiar sekali gus meyakinkan petani terhadap penggunaan teknologi tinggi bagi meningkatkan pengeluaran dan produktiviti tanaman.

"Peruntukan Pembangunan Tanah Terbiar ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Pembangunan Tanah Terbiar, Meningkatkan Pengeluaran Tanaman Makanan dan Projek Tanaman Fertigasi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil berat kerja penyelenggaraan jalan untuk memastikan jalan raya di negeri ini sentiasa selamat digunakan rakyat.

Menjawab isu yang dibangkitkan Aminolhuda Hassan (PAS-Parit Yaani), Gan Peck Cheng (DAP-Penggaram), Cheo Yee How (DAP-Pengkalan Rinting) dan Chew Peck Choo (DAP-Yong Peng), Hasni berkata kerja pembaikan rutin seperti membaiki jalan berlubang akan diambil tindakan segera manakala kerja penyelenggaraan berkala seperti menurap semula permukaan jalan dilaksana mengikut keutamaan.

"Kerajaan negeri memperuntukkan RM120 juta kepada Jabatan Kerja Raya tahun ini untuk menurap semula jalan sepanjang 370 kilometer manakala kerajaan pusat memperuntukkan RM30 juta untuk menurap semula jalan persekutuan yang mengalami kerosakan," katanya.

Beliau berkata kerja pembersihan longkang di tepi semua jalan-jalan negeri dan persekutuan pula dilaksana dua kali setahun bagi memastikan longkang tidak tersumbat dan menyebabkan banjir kilat.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial