Tanah Wakaf Terbiar Akan Dibangunkan – MB

JOHOR BAHRU : Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Islam Johor Holdings Sdn Bhd (PIJH) akan membangunkan tanah-tanah wakaf dan baitulmal yang terbiar di negeri ini bagi memberi manfaat kepada masyarakat islam.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, PIJH akan akan memulakan kerja-kerja mengenal pasti tanah-tanah terbiar yang terlibat dengan kerjasama dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

Jelas beliau, kajian terperinci antara MAIJ dan JAIJ perlu dijalankan bagi mengenal pasti cara yang efektif untuk membangun dan menguruskan tanah wakaf dan baitulmal berkenaan.

"Di Johor Baharu (contohnya), ada banyak tanah wakaf yang tidak diguna atau tidak ada perancangan. Sebab itulah saya mahu PIJH berbincang dengan pihak berwajib bagaimana hendak memaksimumkan tanah tersebut.

“Jika tanah wakaf dan baitulmal ini dapat dibangunkan, ia akan memberi banyak manfaat dan dapat meningkatkan sosioekonomi umat Islam khususnya di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya selepas Majlis Perasmian pecah tanah Rumah Mampu Milik Johor Jalan Datin Halimah, di sini.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, kira-kira 3,000 unit rumah mampu milik akan dibina di bandar raya ini merangkumi Jalan Datin Halimah, Kampung Datuk Sulaiman Menteri, Bakar Batu, serta dua Taman Perbadanan Islam.
“Dua Taman Perbadanan Islam itu akan dibangunkan di Larkin dan Telok Jawa pada tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

“Pembinaan rumah mampu milik di kawasan bandar sedikit sebanyak dapat menyeimbangkan pemilikan hartanah melibatkan semua kaum di kawasan bandar sekali gus sejajar dengan dasar pengagihan secara inklusif yang dipelopori oleh kerajaan Johor,” katanya.

 

 

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial