TANGGUH KERJA DEMI JELAJAH MERDEKA

image (6)

KOTA TINGGI – Setiap kali tiba bulan kemerdekaan, seorang pekebun dan nelayan sambilan di Felda Tenggaroh Selatan 1 dekat sini, akan menangguhkan sementara pekerjaannya demi menjelajah ke daerah lain dengan kenderaan dihias Jalur Gemilang.

Arbaain Mohamad, 52, berkata, dia menghias kenderaannya dengan Jalur Gemilang sejak 10 tahun lalu bagi memeriahkan lagi sambutan bulan kemerdekaan dan menonjolkan semangat patriotik dalam diri.

Katanya, inisiatif itu dilakukan sejak 2006 selepas mendapat ilham daripada seorang rakan, Husin Sarbaiee yang turut gemar menghias kenderaan persendiriannya dengan bendera kebangsaan sejak 2003.

“Sejak Ogos 2006 saya pernah menghiaskan kereta Proton Saga 1.3 lama dengan 50 Jalur Gemilang sesuai dengan ulang tahun sambutan bulan kemerdekaan ke-50 ketika itu sebelum dipamerkan di sekolah-sekolah.

“Setiap tahun jumlah Jalur Gemilang yang dihiaskan bertambah termasuk hiasan sampingan yang kebanyakannya menggunakan belanja saya sendiri. Hanya pada 2008 hingga 2010 jelajah ini dihentikan sementara memandangkan bulan kemerdekaan jatuh selari dengan bulan Ramadan.

"Saya gemar buat pameran di sekolah kerana secara tak langsung dapat kukuhkan pendidikan sivik dan menyemarakkan semangat cintakan tanah air,” katanya yang juga aktif dalam aktiviti Umno Bahagian Kota Tinggi.

Katanya, kini kenderaan terbarunya, Mitsubishi Storm 200 dihiasi dengan 557 Jalur Gemilang, satu bendera Johor dan sebuah bendera daerah Kota Tinggi lengkap audio lagu patriotik.

Beliau yang juga ahli aktif Kelab Kereta Harimau Selatan (KKHS) berkata, usaha gigihnya kini mendapat sokongan dan dorongan wakil rakyat dan ketua jabatan kerajaan dalam daerah ini.

“Selain menjelajah ke tempat seperti Johor Bahru, Pasir Gudang, Mersing, Kluang dan Muar, saya juga terima undangan penduduk melalui pameran bergerak bermotif semangat patriotisme,” katanya. – SINAR HARIAN

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial