‘Task Force’ Parlimen Gelang Patah Diwujudkan

GELANG PATAH, 26 Feb – Satu Jawatankuasa Khas atau Task Force Parlimen Gelang Patah akan diwujudkan bagi mengkaji aspek pembangunan di kawasan tersebut.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan mewujudkan Task Force tersebut kerana Gelang Patah merupakan kawasan yang sangat penting dan menjadi pusat pentadbiran negeri.

“Ia akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru, selain dianggotai wakil rakyat Barisan Nasional, pemimpin politik, UMNO Bahagian dan jabatan-jabatan tertentu.

“Jawatankuasa tersebut akan bermesyuarat sebulan sekali dan hasilnya akan disampaikan terus kepada saya untuk tindakan Kerajaan Negeri, terutamanya input berkenaan isu-isu yang memerlukan perhatian dan pertimbangan mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Lawatan Kerja Parlimen Gelang Patah, di Kg. Sg. Melayu, di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani; Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah, Khairi A. Malik; Ahli Dewan Undangan Negeri Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Muhamad Fuad Radzuan.

Beliau berkata, antara perkara yang akan dikaji oleh jawatankuasa tersebut adalah berkenaan isu pembangunan Kg. Sg. Melayu dan projek tambakan yang menjejaskan pengusaha kupang yang memerlukan perbincangan bersama pemaju berkaitan.

“Jawatankuasa tersebut juga akan mengkaji isu di tujuh kawasan setinggan yang melibatkan soal perakuan dan memerlukan perpindahan rumah, serta isu permohonan hak milik yang boleh diberi atau disegerakan.

“Malah, kajian juga akan dilakukan terhadap rumah pangsa Taman Jaya Skudai yang tidak selamat diduduki dan isu pampasan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Tebing Runtuh yang ada permintaan tertentu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan ke Parlimen Gelang Patah, beliau berkata walaupun kawasan tersebut sedang pesat membangun, itu bukan bermakna tidak ada keperluan untuk datang melawat.

“Kita perlu lakukan lawatan kerana percaya bahawa dalam kepesatan pembangunan di sini tentunya banyak cabaran yang dihadapi.

“Perhatian bukan sahaja diberi pada soal pembangunan fizikal, tetapi juga soal kemasyarakatan supaya tidak berlaku jurang yang besar untuk kesejahteraan rakyat.

“Lebih-lebih lagi dengan wujudnya pusat pentadbiran negeri iaitu Kota Iskandar, serta antara kawasan yang terdapat dalam Wilayah Iskandar yang pesat membangun,” katanya.

Tambah beliau, usaha pembangunan di Gelang Patah juga akan terus dilaksanakan dengan kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT).

“Kerajaan Negeri telah meletakkan sasaran supaya setiap PBT memperuntukkan 40 peratus daripada hasilnya untuk tujuan pembangunan dan mesti dibelanjakan bagi memenuhi kehendak dan kemudahan orang ramai.

“Dengan komitmen tersebut, ia akan membolehkan kerajaan negeri untuk menyalurkan perbelanjaan peruntukan kepada kawasan-kawasan lain untuk diberikan kembali kepada rakyat,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial