TEAM Johor Antara Teras Penting Jayakan Johor Berkemajuan

IMG_4595
JOHOR BAHRU, 26 Jan – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini menggariskan empat teras penting ke arah menjayakan Gagasan Johor Berkemajuan.

Sempena Majlis Amanat Tahun 2017 hari ini, beliau mengajak seluruh Bangsa Johor untuk menggandakan usaha menjelmakan cita-cita gagasan itu dengan lebih agresif bagi menghadapi persekitaran Malaysia dan dunia yang sentiasa berubah dengan deras.

“Pertumbuhan ekonomi global tidak menunjukkan petanda yang memberangsangkan, malah pertumbuhan ekonomi Malaysia turut dijangka menghadapi cabaran yang tersendiri.

“Justeru, kita mesti memposisikan Johor sebagai daerah ekonomi yang fleksibel, produktif dan berdaya saing kerana hanya melalui pembangunan ekonomi secara radikal dan besar-besaran akan membolehkan kita kekal relevan dalm persaingan serantau dan global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan amanat tahun 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz; Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani; serta barisan pengerusi-pengerusi jawatankuasa Kerajaan Negeri.

Empat perkara yang dianjurkan oleh Mohamed Khaled ke arah menjayakan Johor Berkemajuan ialah TEAM Johor, memanfaatkan inovasi sains dan teknologi, menggiatkan ekonomi Johor serta pengukuran pencapaian dan prestasi yang berkesan.

“Melalui TEAM Johor ini, rakyat dan masyarakat akan bangkit menjadi pendukung, pencipta, penggerak dan pemain dalam setiap detik pembaharuan dan nadi pembangunan Johor dan hanya dengan semangat TEAM inilah kita akan dapat mengurangkan sikap bergantung sepenuhnya kepada pemerintah.

“Kita juga mesti memanfaatkan sepenuhnya sains dan teknologi melalui penggunaan media sosial yang radikal, memanfaatkan pelbagai teknologi tanpa wayar, ‘cloud computing’ serta ‘analytics’ dan ‘big data’,” jelasnya.

Ujar beliau, segala maklumat di persada maya mesti dimanfaatkan untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah masyarakat melalui analisis yang akan membawa kepada pemahaman sentimen sebenar yang mendasari sesuatu isu.

Dari segi menggiatkan ekonomi negeri Johor, Mohamed Khaled menekankan tahun 2017 akan menjadi tahun untuk merancakkan pelaksanaan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ) secara besar-besaran bagi memastikan setiap daerah dibangunkan potensi ekonominya berdasarkan kebitaraan setempat.

“Tanpa pertumbuhan ekonomi yang mampan, Johor Berkemajuan hanya akan menjadi retorik politik.

“Jangan sesekali kita berfikiran sehala dan stereotaip. Kita mesti menjadi pencetus pendekatan inovatif dan luar kelaziman, serta pelopor pemikiran luar lingkungan,” tambahnya.

Berkaitan pengukuran pencapaian, beliau berkata Johor akan memperkenalkan secara berperingkat konsep kepimpinan berprestasi, dengan semua Pegawai Kanan Awam Negeri serta agensinya mempunyai Indeks Prestasi yang khusus.

“Kita mesti meningkatkan kecekapan kerajaan berdasarkan prestasi, kerana tanpanya, kita akan tersasar dan tidak boleh membuktikan kepada rakyat bahawa mandat mereka telah kita lunaskan.

“Melalui pencapaian prestasi yang baik, kita dapat meyakinkan rakyat untuk terus memberikan mandat kepada kita untuk memerintah,” kata beliau.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial