TELUK TEBRAU DIISYTIHAR ZON ANTARABANGSA PERTAMA DI ISKANDAR MALAYSIA

PASIR GUDANG: Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan kawasan Teluk Tebrau sebagai salah satu kawasan zon antarabangsa di Iskandar Malaysia.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata Teluk Tebrau akan menghasilkan satu bentuk pembangunan yang memberi nilai tambah kepada Johor dan Malaysia.

Katanya, kerajaan negeri  mahu kawasan itu menjadi satu jenama Johor bertaraf antarabangsa.

“Pengisytiharan Teluk Tebrau sebagai sebuah Zon Antarabangsa bukan sahaja akan menarik minat pelaburan dan kepakaran luar. Tetapi akan turut merangsang bakat terbaik tempatan untuk bekerja di dalam negara, dengan persekitaran antarangsa. Dalam erti kata lain, serving the world from home country.

“Sasaran kita adalah untuk menjadi kuasa ekonomi termaju di Malaysia dan rantau ini. Kita tidak hanya mahu bersaing dengan pemain-pemain tempatan, tetapi menerobos lebih lebih jauh dari rantau Asia Tenggara,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Greenland Tebrau Sdn Bhd serta Greenland Danga Bay Sdn Bhd di sini, hari ini.

Katanya lagi, Teluk Tebrau akan menjadi pusat pelaburan dan industri yang berdaya saing dan berupaya menarik masuk pelaburan asing dengan lebih banyak dan pelbagai sifatnya.  Konsep dan susun atur pembangunan di sini akan direncanakan secara moden dan memenuhi keperluan global serta menjadi pusat yang mempunyai watak tempatan, tambahnya. 

Beliau berkata pembangunannya akan mempunyai kapasiti profesional dan antarabangsa daripada segi keupayaan tawaran perkhidmatan dan produk, kepakaran, sistem pengendalian dan pengurusan serta kemudahan sosial.

Mohamed Khaled berkata, pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan itu juga turut perlu memberi tumpuan kepada aspek pengurusan sosial dan alam sekitar seiring dengan Rancangan Pembangunan Komprehensif(CDP), Iskandar Malaysia.

“Saya amat mengharapkan apa yang diusahakan di kawasan Senibong ini, menepati dan menyantuni aspirasi pembangunan lestari Iskandar Malaysia. Ia harus seiring dengan CDP termasuk CDP 2 yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah mengilhamkan Iskandar Malaysia untuk menjadi seperti Dubai, atau Abu Dhabi, mahupun Doha yang memiliki pembangunan pesat tetapi hilang identiti warisannya.

“Di Iskandar Malaysia, kita inginkan kelainan. Model pembangunannya lestari, sesuai dengan sifat zamannya. Benar-benar ada falsafah pembangunan dan citra baharu. Dimodelkan dengan meraikan pelbagai dimensi inovasi, demi mewujudkan persekitaran yang progresif dan dinamik, berbudaya, sejarah dan warisan,” tegas Mohamed Khaled.

“Mengutamakan keadilan sosial dan inklusif. Memelihara dan menghakupayakan kepentingan masyarakat tempatan. Serta melindungi dan menyuburkan segala nilai budaya, sejarah dan khazanah bangsa sebagai karakter penting dalam ikhtiar pembangunannya.

“Sesuatu bangsa itu tidak perlu ghairah menjadi orang lain dan melupakan kelebihan budaya bangsa sendiri atas nama desakan kemajuan,” katanya.

Beliau juga mahu projek pembangunan di Tebrau Bay itu mengasimilasikan kekayaan budaya dan tradisi Johor dan Malaysia di samping membuka ruang kepada masyarakat tempatan untuk sama-sama terlibat.

“Bukalah ruang seluas-luasnya untuk anak-anak tempatan dihakupayakan. Berikan mereka ruang untuk menyumbang idea dan kreativiti mereka dalam mencorakkan wajah Senibong dan Tebrau yang moden ini.

“Paling penting, mesti ada ruang untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana menjadi sebahagian daripada pembangunan besar ini. Projek ini mestilah bersifat terangkum dan inklusif, supaya tiada pihak yang tertinggal untuk bersama-sama meraih laba manfaatnya,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial