Terima Kasih Bangsa Johor – Khaled

image

 

Hari ini genap tiga tahun saya menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Johor.

Saya mengambil kesempatan menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang sangat mendalam, yang sangat tulus, atas segala sokongan padu yang dinyatakan dengan tegas dan jelas, kepada kepimpinan saya.

Khususnya, saya dengan rendah diri ingin menjunjung kasih ke bawah DYMM Sultan Johor, atas sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap saya sebagai Menteri Besar Johor.

Sesungguhnya perkenan dan dokongan dari DYMM Tuanku dan Istana adalah sesuatu yang amat besar maknanya.

Saya harus menegaskan bahawa atas nasihat dan pandangan bernas DYMM Sultan jua, saya dan semua ahli pentadbiran dapat melaksanakan tugas dengan baik, sesuai amanah yang diberikan.

Sesungguhnya, hasil kerja berpasukan dan muafakat pelbagai pihak jualah, kita dapat mengemudi pentadbiran Kerajaan Johor dengan cekap dan selayaknya.

Segala manfaat positif dan natijah yang elok ini bukan sesuatu yang hanya kita gubah dengan lenggok dan langgam bahasa yang indah-indah semata-mata.

Tetapi adalah hasil dan kejayaan agenda pembangunan Johor yang terbukti dengan segala angka dan petunjuk yang jelas dan tidak boleh disangkal.

Justeru, saya menyambut segala pernyataan sokongan pelbagai pihak ini dengan rasa sangat rendah diri.

Banyak lagi yang perlu dibuat. Kita mempuyai banyak matlamat yang tegas dan jelas dan yang utama ialah menjayakan gagasan Johor Berkemajun.

Saya menanam azam dan mengajak semua pihak, untuk bersama-sama memberikan yang terbaik kepada Negeri Johor dan seluruh rakyatnya.

Dato’ Mohamed Khaled Nordin
Menteri Besar Johor

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial