Teruskan Kerjasama Dengan SPRM

JOHOR BAHRU, 4 Mei – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan harapan agar Kerajaan Negeri akan terus menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan integriti penjawat awam.

Ia juga bagi mengemaskini mana-mana prosedur kerajaan yang lemah dan terdedah kepada amalan rasuah.

“Saya percaya, majoriti penjawat awam di negeri Johor mengamalkan sikap integriti yang tinggi.

“Namun begitu, hanya disebabkan segelintir individu yang tidak amanah, nama baik perkhidmatan telah tercalar, ibarat kata pepatah ‘kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit’,” titah baginda.

Titah baginda dibacakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mewakili baginda ke Majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, hari ini.

Baginda juga bertitah bahawa siasatan SPRM ke atas penjawat awam Johor menunjukkan tiada tolak ansur dalam soal integriti.

“Lihatlah apa yang berlaku baru-baru ini, apabila ada orang politik yang telah didakwa atas tuduhan rasuah atau salah guna kuasa berkaitan isu perumahan negeri Johor.

“Kes siasatan oleh SPRM terhadap penjawat awam Johor janganlah dilihat sebagai satu cara untuk melemahkan pentadbiran Kerajaan Negeri, ia seharusnya dijadikan kekuatan yang mana soal integriti adalah sesuatu yang tidak boleh ditolak ansur,” titah baginda.

Baginda turut menasihati orang ramai untuk sama-sama membantu kerajaan menghapuskan amalan rasuah dengan tidak mencari jalan pintas seperti amalan “bayaran tol” atau apa juga bentuk suapan.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial