Tiada Pelan B Untuk Umno

KLUANG: UMNO perlu menyelesaikan segala kemelut yang dihadapi  dengan segera bagi memastikan parti itu terus kekal relevan serta berupaya menghadapi segala cabaran.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata UMNO memerlukan harapan baru dan tidak boleh menunggu lama dalam menyelesaikan kemelut itu.

Beliau berkatanya, permasalahan itu bukan persoalan enteng kerana ia adalah tentang kelangsungan perjuangan Melayu dan Islam.

"Tiada pelan B untuk UMNO kecuali semua bersatu untuk mempertingkatkan segala usaha dan ikhtiar, mendesak kepemimpinan parti menyatakan dengan jelas jalan ke hadapan bagi parti ini.

"Kita harus mengakui bahawa parti pada detik ini tidak berada dalam kedudukan yang sebaiknya. UMNO memerlukan harapan baharu.

"Semakin kita biarkan, semakin membarah segala masalah berkenaan dalam UMNO," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di Sekolah Menengah Sains Sembrong di sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor, merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut mengumumkan bahawa UMNO Johor akan melancarkan pelan masa depan parti untuk tempoh 10 tahun.

Pelan itu menggariskan 11 agenda besar UMNO Johor, meliputi pelbagai ikhtiar untuk memodenkan UMNO.

"Kami akan menubuhkan sekolah politik dan kepemimpinan UMNO, bertujuan menyediakan pemimpin terbaik bangsa. Semua ini kami lakukan kerana UMNO harus berkelangsungan.

"Jika tidak UMNO, siapa lagi yang akan melakukannya untuk orang Melayu," katanya.

Mesyuarat perwakilan itu turut dihadiri Ketua Bahagian UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Naib Presiden UMNO.

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial