Tiada Rombakan Exco Johor

PASIR GUDANG, 21 April – Tiada rombakan Exco akan dibuat ekoran peletakan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latif Bandi, semalam.

Menurut Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, perubahan portfolio yang dibuat ketika Abd Latif mula bercuti pada bulan lepas akan dikekalkan.

“Portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan dipertanggungjawabkan kepada Datuk Md Jais Sarday.

“Manakala perubahan portfolio Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi melibatkan Datuk Ayub Rahmat dan YB Ismail Mohamed akan dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Kedai Harga Patut IMCoop cawangan Taman Dahlia, Pasir Gudang.

Ditanya tentang kedudukan Abd Latif selaku ADUN Endau, beliau berkata Abd Latif masih menjalankan tugas itu kerana belum didapati bersalah.

Berkenaan jawatankuasa khas yang dibentuk bagi memantapkan soal permohonan, pengecualian dan pelepasan lot bumiputera, Mohamed Khaled berkata jawatankuasa itu telah bermesyuarat dan pengumuman berkaitan akan dibuat apabila sampai masanya.

“Pada masa yang sama kita tahu bahawa kesan daripada isu ini, pihak SPRM memang mengkaji dan membuat syor serta cadangan kepada Kerajaan Negeri bagaimana sewajarnya kita mengemaskini proses dan prosedur.

“Kerajaan Negeri menyambut baik saranan dan cadangan itu kerana ia bertepatan dengan hasrat dan matlamat kita membuat perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial