Tiada sebab BN Johor perlu panik – MCA

mca

 

JOHOR BAHRU, 20 Okt – MCA Johor menegaskan tiada sebab untuk Barisan Nasional (BN) negeri ini perlu panik kerana kepemimpinan yang ditunjukkan Menteri Besar adalah dinamik dan cemerlang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MCA Johor, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata dakwaan dan tohmahan pemimpin pembangkang terhadap kepemimpinan diterajui Dato’ Mohamed Khaled Nordin adalah bertujuan mengabui mata rakyat.

Katanya, dakwaan yang dilemparkan pemimpin DAP Johor terhadap kepemimpinan BN juga jelas menunjukkan kebimbangan mereka yang tidak langsung membuat kerja untuk rakyat.

“Tiada sebab BN Johor perlu panik. Kalau Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong kata sudah dapat sokongan Melayu tidak mengapa, janganlah bertanding di kawasan MCA, pergilah bertanding di kawasan UMNO juga.

“Kalau rasa mereka kuat sangat pergilah. Cuba dulu, belum cuba belum tahu. Beliau (Chin Tong) boleh diibaratkan seperti pepatah Melayu ‘yang bodoh tidak dapat diajar, yang pandai tidak boleh diikut’,” katanya pada sidang media selepas perjumpaan tertutup selama dua jam kepemimpinan MCA Johor bersama Menteri Besar di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri merangkap Timbalan Pengerusi MCA Johor, Datuk Tee Siew Kiong serta barisan kepemimpinan MCA negeri.

Mengulas mengenai perbincangan persempadanan semula bahagian pilihan raya dalam pertemuan itu, Ka Siong menegaskan Johor adalah unik dan tidak sama dengan negeri lain.

“Johor berlainan dengan negeri lain yang mana kita tidak boleh meminggirkan mana-mana komponen dalam persempadanan semula kerana kebanyakan kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dianggap kerusi campuran.

“Walaupun ditandingi calon UMNO, perlu ada sokongan pengundi Cina dan inilah peranan MCA untuk kumpul tenaga memberi sokongan pada wakil UMNO. Begitu juga kerusi ditandingi calon MCA, tanpa sokongan kaum lain juga akan merugikan semua pihak,” katanya. – Berita Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial