Tidak Beri Perhatian Dalam Dewan

KOTA ISKANDAR, 28 Dis – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat hari ini membidas kenyataan Adun Bukit Batu, Jimmy Puah berhubung ketiadaan tindakan Kerajaan Negeri dalam menamatkan penggunaan polisterin di Johor.

Tegas beliau, perkara berkenaan telah diulas dan dihuraikan pada Sidang Dewan Negeri Johor baru-baru ini.

“Semasa penggulungan, kita telah mengatakan bahawa Johor menghasilkan kira-kira 1800 tan sampah sehari, dan 360 tan itu adalah merupakan plastik dan polisterin, dengan kos untuk kerja-kerja menghapuskan di pusat pelupusan sebanyak 360 juta.

“Saya sebutkan juga bahawa di Sungai Skudai, 80% daripadaa 160 tan sampah adalah dari polisterin. Itu baru sg skudai, belum campur sungai-sungai lain.

“Dia (Jimmy) kata perkara berkenaan tidak disebutkan semasa sidang dewan negeri baru-baru ini bahawa kita nak haramkan (polisterin), saya rasa dia tidur. Dalam penggulungan saya, saya telah sebutkan tentang semuanya, sudah keluar di akhbar dan diulas lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di sini, hari ini.

Tambah Ayub, peruntukan RM250,000 juga akan disalurkan oleh Kerajaan Negeri untuk rangka Tindakan dan Pelan Hala Tuju Biorosot dan Biokompos Johor di mana membabitkan kajian bagi meminimumkan penggunaan dan kebergantungan kepada bahan pembungkusan berasaskan plastik dan polisterin.

“Ini bagi memastikan kerancakan pembangunan ekonomi dan tabiat konsumerisme domestik kita tidak membelakangkan kepentingan kelestarian alam sekitar.

“Kajian terperinci mengenai impak kepada keseluruhan ekosistem dan juga proses pelaksanaan oleh semua kumpulan masyarakat, peniaga, pengusaha makanan dan pengguna perlu diberi perhatian.

Tegas beliau lagi, penggantian bahan-bahan plastik akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan semua pasar raya di Negeri Johor pada Jun tahun hadapan , sebelum dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negeri pada Januari 2018.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial