TIDAK PERNAH KESAL JADI TENTERA

image (4)

KEMERDEKAAN negara dicapai sejak 58 tahun lalu, hasil perjuangan pemimpin terdahulu seperti Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman yang membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British.

Namun, sumbangan pasukan keselamatan turut memainkan peranan membantu membebaskan negara daripada cengkaman penjajah yang menguasai Tanah Melayu sehingga ratusan tahun lamanya.

Bagi tentera yang menyertai pasukan tersebut pada era pasca kemerdekaan, tugas yang dipikul amat mencabar terutamanya yang membabitkan operasi pembersihan bom dalam hutan yang menjadi sarang penjajah zaman darurat.

Ada yang cacat kekal anggota, bahkan ada yang terbunuh terkena letupan jerangkap samar yang dipasang komunis dalam hutan.

Kebanyakan pesara tentera yang tidak bernasib baik itu apabila  ditemui, secara ikhlas meluahkan isi hati bahawa mereka tidak pernah menyesal menjadi tentera. 

Sebaliknya, mereka puas kerana dapat berbakti untuk negara.

Kaki terpaksa dipotong

Perkara yang sama turut diluahkan Ali Sarmin, 72, yang cedera pada kaki kanan sehingga memaksa ia dipotong pada paras lutut akibat terkena letupan bom ketika menyertai operasi pembersihan hutan di Gerik, Perak.

Menurutnya, kejadian yang hampir meragut nyawanya itu berlaku pada 1974 ketika dia bersama 29 anggota yang lain mahu menjalankan tugas itu.

“Kami dilepaskan berasingan dalam satu kumpulan yang terdiri daripada 10 anggota ke kawasan yang ditetapkan.

“Tidak berapa lama selepas kumpulan pertama dilepaskan, kedengaran satu letupan kuat dari arah yang dilalui kumpulan berkenaan dan pada masa itu kami dapat jangka ada anggota tentera yang tercedera,” katanya kepada  Sinar Harian di rumahnya di Taman Tangkak
Jaya, Ledang.

Ali berkata, ketika kumpulannya melewati sebuah kawasan, tiba-tiba satu letupan meledak mengenai tepat pada tapak kaki kanannya menyebabkan dia melambung sebelum tercampak ke dalam lubang bekas letupan bom tersebut.

“Saya tidak sedarkan diri dan tapak kaki saya hilang tidak dapat dikesan di sekitar tempat kejadian. Doktor yang berada di situ juga tidak dapat membantu saya kerana darah keluar tanpa henti.

“Saya kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang dengan menaiki helikopter dan dirawat selama dua bulan di sana,” katanya.

Katanya lagi, kakinya perlu dibedah segera untuk dipotong sehingga paras buku lali bagi membuang serpihan tapak kaki yang sudah hancur.

Bapa lapan orang anak itu berkata, dia sekali lagi terpaksa menempuh pengalaman getir sepanjang 14 hari dirawat di hospital itu apabila luka pembedahan  pada kakinya dijangkiti kuman yang sekali lagi memerlukan kakinya dipotong pada bahagian betis bagi menyelamatkan nyawanya.

“Saya tiada pilihan dan terpaksa akur dengan keputusan doktor daripada terus menanggung sakit.

“Dua bulan selepas kejadian itu, saya kembali bertugas di Kem Sikamat, Negeri Sembilan, dan kaki kanan menggunakan kaki palsu sumbangan daripada Kementerian Pertahanan,” katanya.

Sekali lagi diuji

Berkongsi pengalamannya itu, Ali berkata,  dua tahun selepas  itu  iaitu pada 1976, dia tidak menyangka akan diuji lagi apabila kaki kirinya sakit secara tiba-tiba sehingga mengganggu tugas hakikinya sebagai seorang  tentera.

Katanya, hasil pemeriksaan di hospital mendapati  urat kakinya rosak akibat terkena serpihan bom yang tertanam pada beberapa bahagian kakinya itu.

“Dalam pembedahan itu doktor telah sambung semula urat saya bagi menggantikan bahagian urat yang telah rosak, selain  mengeluarkan serpihan bom berupa besi yang tertanam pada kaki kiri.

“Saya diberikan cuti sakit selama dua tahun dan dalam tempoh itu sering berulang alik ke enam hospital untuk rawatan,” katanya.

Anak kelahiran Bukit Pasir, Muar itu berkata, selepas pulih daripada penyakit itu, dia membawa anak dan isterinya berpindah ke Kem Sikamat kerana sebelum ini mereka tinggal di kampung di Bakri.

“Setelah kembali bekerja dia diberikan tugas baharu sebagai pembantu kerani berikutan keadaan fizikalnya yang terbatas selama setahun, sebelum dinaikkan pangkat sarjan dan berpindah bertugas ke kem tentera di Muar.

“Saya bertugas di Muar selama 10 tahun sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1990,” katanya.

Hanya duduk di kerusi roda

Kini, hero tidak didendangkan itu hanya mampu duduk di kerusi roda disebabkan penyakit angin ahmar yang dihidapinya sejak 2004.

Ali berkata, sudah empat kali dia diserang penyakit tersebut pada bahagian kiri badan dan mengharapkan  keajaiban untuk sembuh kerana masih mengamalkan kaedah rawatan perubatan  tradisional

Katanya, dia tidak pernah berasa ralat apabila  tidak berpeluang bertugas lebih lama menyertai operasi dalam hutan kerana bakti dan pengorbanannya telah dibuktikan dengan kecacatan sepanjang hayat dialaminya itu.

“Sepanjang 26 tahun sebagai tentera saya pernah menjadi jurulatih selama dua tahun sehingga 1969 di Pusat Latihan Wataniah Tambun, Ipoh, selain menerima dua pingat iaitu Pingat Peringatan Am (1970an) dan Pingat Peringatan Malaysia (1980an).

“Walaupun sudah bersara 25 tahun lalu, tetapi masih dihargai apabila dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) oleh Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Muar tahun lalu,” katanya.

Katanya lagi, meskipun tiada seorang anak pun yang  menjejaki langkahnya menyertai pasukan keselamatan, namun dia berharap ada cucu yang akan meneruskan legasinya sebagai  tentera.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial