Tidak Salah UMNO Muhasabah Diri

Foto kredit - Utusan
Foto kredit – Utusan

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Soal kesetiaan ahli kepada parti tidak lagi disangkal kepentingannya dalam memastikan kedudukan UMNO yang lebih kukuh.

Namun, bagi Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali, tidak salah untuk UMNO diseru mencerminkan diri sebagai langkah memastikan parti itu terus relevan.

“Selama 70 tahun, orang UMNO telah menaruh harapan dan juga keyakinan kepada UMNO. Telah tiba masanya UMNO melihat balik sejauh mana UMNO pula memenuhi citarasa ahli dan pendukungnya.

“Bukannya orang Melayu tidak lagi memerlukan UMNO, tetapi pihak kepimpinan harus ambil inisiatif untuk melihat sama ada apa yang dibuat oleh parti benar-benar memenuhi citarasa, hasrat dan memberi manfaat kepada Melayu keseluruhannya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan perbahasan usul ucapan dasar Presiden UMNO oleh Wakil UMNO Johor, Datuk Ayub Rahmat di Perhimpunan Agung UMNO 2016.

Pelbagai reaksi telah dicetuskan oleh ucapan Ayub apabila beliau berkata bahawa sudah tiba masa untuk UMNO berterima kasih atas sokongan orang Melayu dan berhenti meminta orang Melayu memberi sumpah setia serta  mengenangkan apa yang telah UMNO berikan kepada mereka.

Tambah Samsol Bari, tawaran baharu dan Agenda Melayu Maju yang dikupas oleh Ayub di dalam ucapannya menunjukkan keseriusan UMNO Johor untuk mempastikan UMNO terus relevan.

“Untuk menjadikan UMNO relevan bukan bermakna sekadar mengikuti apa sahaja kehendak rakyat jelata, tetapi pada masa yang sama harus melihat kepada keperluan untuk mentransformasi dan mewujudkan naratif-naratif baru dalam perjuangan parti. Inilah yang sedang diusahakan UMNO Johor.

“UMNO Johor mungkin nadanya berbeza sedikit daripada negeri-negeri lain, tetapi ucapan itu adalah manifestasi citarasa dan gaya cara UMNO Johor menyampaikan aspirasi dan pada masa yang sama, menyampaikan citarasa serta apa yang dihadapi oleh rakyat jelata,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial