TMJ Calon Paling Layak, Sokong Bukan Kerana Kedudukan

PASIR GUDANG, 18 Mac – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, yakin bahawa Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah individu yang paling layak menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana kesungguhan dan kegigihan baginda terhadap sukan bola sepak.

Katanya, baginda telah membuktikannya dengan membawa bola sepak Johor ke satu tahap yang lebih tinggi dan ditambah dengan minat dan kesungguhan yang mendalam, menjadikan baginda calon yang paling layak menjadi Presiden FAM.

“Mudah-mudahan Tunku Mahkota berjaya, bukan kerana baginda Tunku Mahkota baginda perlu disokong. Tetapi baginda ada hasrat dan baginda telah buktikan bila baginda lakukan untuk bola sepak Johor.

“Mudah-mudahan dengan pengalaman itu dan kegigihan, kecenderungan dan minat baginda pada bola sepak, baginda boleh bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Kursus Pra Perkahwinan anjuran Pergerakan Puteri UMNO Pasir Gudang di sini, hari ini.

Tunku Mahkota Johor akan menghadapi persaingan satu lawan satu bagi jawatan Presiden apabila berhadapan Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, pada Kongres Pemilihan FAM ke-53, 25 Mac ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, UMNO Johor menggariskan tiga teras usaha mengimbangi pembangunan di negeri ini, seterusnya memastikan rakyat terus menerima kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, teras pertama adalah dalam aspek pertumbuhan ekonomi yang menjadi keutamaan bagi sesebuah negeri membangun, selain memastikan ia dapat dirasai dan dimanfaatkan seluruh rakyat.

Katanya, teras kedua adalah kesejahteraan sosial rakyat dan dalam soal itu Kerajaan Negeri bersifat inklusif dengan memastikan agihan yang disalurkan kepada rakyat menerusi pelbagai skim dan bantuan pendidikan.

“Ketiga adalah kekuatan peribadi kerana tidak memberi makna apa-apa jika orang (rakyat Johor) tiada nilai, tidak beretika, hilang jati diri dan budaya,” katanya.

Beliau berkata, tiga perkara itu akan diberi keutamaan dan fokus UMNO Johor bagi melakukan perimbangan dalam pembangunan di negeri ini.

“Saya yakin nilai Bangsa Johor yang dibantu dengan Team Johor serta konsep Muafakat Johor membolehkan rakyat faham dan sama-sama menjayakan hasrat ini,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial