TMJ pilihan Presiden FAM?

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi pilihan untuk memenangi pertandingan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bulan depan selepas mengesahkan diri untuk bertanding pada ketika Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memilih menarik diri.

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu akan ditentang Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, calon pertama yang menyerahkan borang pencalonan bagi bertanding dalam Kongres FAM Ke-53 pada 25 Mac ini.

Sejurus Tunku Ismail diumum sebagai calon Presiden FAM bagi penggal 2017-2021, Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers (JST) memuat naik gambar Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskadar bersama Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Di atas gambar tersebut disertakan keterangan: “DYAM Tunku Mahkota Johor menjunjung titah DYMM Sultan Johor untuk bertanding jawatan Presiden FAM bagi mengubah landskap bola sepak negara”.

Pertandingan Presiden FAM sebelum ini diramal sengit andai Khairy memilih untuk mencabar kerusi panas No. 1 FAM itu.

Begitupun, meninggalkan Annuar sebagai calon tunggal untuk menentang Tunku Ismail menjadikan pemilihan lebih mudah dibaca.

Malah, ada ahli gabungan yang turut meramalkan Annuar mungkin menarik diri sebelum pertandingan kerana setiap calon dibenarkan untuk berundur sehingga hari pemilihan.

“Selepas pencalonan ditutup pada pukul 5 petang ini, hanya dua daripada empat individu yang dicalonkan untuk jawatan Presiden mengesahkan diri bertanding manakala dua lagi menarik diri.

“Bagi jawatan Timbalan Presiden yang menerima lapan pencalonan, empat calon menarik diri dan bagi jawatan Naib Presiden, hanya sembilan daripada 21 calon sah bertanding.

“Bagi jawatan Presiden, saya ingin umum sebelum ia (pencalonan) disahkan Exco FAM, dua calon yang bertanding adalah Tunku Ismail dan Tan Sri Annuar,” kata Hamidin di Wisma FAM, hari ini.

Bagaimanapun, Hamidin enggan mendedahkan sebab Khairy dan seorang lagi calon presiden iaitu Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat menarik diri.

“Semalam saya berjumpa Tan Sri Aseh dan beliau mengesahkan untuk menarik diri manakala Khairy patut berjumpa saya hari ini tetapi atas beberapa faktor kami hanya bercakap menerusi telefon dan beliau menghantar wakil untuk menarik diri,” katanya.

Ketika ditanya bilakah beliau bertemu Tunku Ismail, Hamidin hanya memberitahu, perjumpaan diadakan beberapa hari lalu.

Hamidin menyifatkan pemilihan Presiden FAM kali ini positif kerana menerima banyak pencalonan.

“Setiap calon masih boleh menarik diri sehingga kongres berlangsung.

“Melihat kepada begitu ramai calon yang menawar diri (bertanding) ia menunjukkan masih ramai berminat untuk membawa bola sepak negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya lagi.

Dua tahun lalu, Tunku Ismail turut bertanding Presiden FAM, namun tewas kepada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Annuar pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden FAM bagi penggal 2010-2014 selepas menerima 23 undi daripada perwakilan namun digantung oleh badan induk itu selama 30 bulan bermula April 2012 kerana didapati bersalah mengkritik persembahan Harimau Malaysia yang melanggar Artikel 88.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menolak pencalonan yang diterima untuk jawatan Timbalan Presiden FAM. – Utusan

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial