TPJ BAKAL JADI ASET TERBAIK PELANCONGAN JOHOR

tpj bakal jadi aset

MASAI- “Kalau tidak dibuat sepenuh hati yang bersertakan minat dalam dunia asas tani, Taman Pertanian Johor (TPJ) tidak akan jadi seperti hari ini.”

Itulah kata-kata Pengurus TPJ, Datuk Baharuddin Abd Basir yang diberi tanggungjawab untuk menjadikan taman tersebut sebagai kawasan yang cukup indah dan mengkagumkan sehingga menjadi daya tarikan orang ramai.

TPJ yang terletak di Mukim Sungai Tiram, di sini asalnya tidak terjaga tetapi apabila Baharuddin diberi mandat, segalanya berubah dalam tempoh satu tahun.

“Mungkin saya memang orang pertanian dan minat saya juga dalam dunia pertanian, maka apa yang saya buat di TPJ adalah kerana minat saya yang mendalam dalam bidang ini.

“Memang saya tak nafikan keadaan TPJ dahulu dan sekarang amat berbeza tetapi semuanya dilakukan kerana saya sendiri mahu melihat tempat ini menjadi kawasan riadah dan tempat ilmu bagi orang ramai.

“Syukurlah, sejak setahun lalu, banyak perubahan yang telah dilaksanakan mengikut apa yang dirancangkan bersama Jabatan Pertanian Johor.

“Kalau sebelum ini nak tengok pokok durian pun susah sebab dilindungi semak samun, hari ini kita boleh bentang tikar dan tidur di mana-mana pokok buah-buahan yang terdapat di TPJ ini,” kata Baharuddin sambil ditemani Pengarah JabatanPertanian Johor, Ahmad Kamil Yunos dalam satu pertemuan dengan wartawanJAUHAR baru-baru ini.

 Jelas Baharuddin, tanah seluas 48 hektar di TPJ telah dimajukan dengan pelbagai tanaman buah-buahan seperti durian, rambutan, mangga, cempedak, mata kucing dan pelbagai lagi.

“Namakan sahaja pokok apa, semuanya ada di TPJ malah kami bercadang untuk menjadikan tempat ini sebagai muzium buah-buahan atau pokok yang hamper pupus sebagai khazanah warisan negeri.

“Generasi muda hari ini ramai yang tak kenal buah sentul, pokok mentega dan banyak lagi termasuklah asam gelugor.

“Semua itu ada kami tanam di sini supaya ia dapat dijadikan pembelajaranbuat generasi muda dan akan datang dan kami akan pastikan pokok-pokok ini tidak akan pupus,” ujarnya.

Tambahnya lagi, bagi menambah tarikan orang ramai untuk ke TPJ, pelbagai kemudahan disediakan termasuklah penginapan, tapak perkhemahan, kawasan jualan hasil pertanian termasuklah pisang,ubi kayu dan sebagainya, taman rekreasi, bilik kuliah dan seminar serta kolam memancing.

“Kami benar-benar mahu jadikan TPJ sebagai satu tarikan utama negeri Johor dan kami yakin sesiapa sahaja yang datang ke sini pasti akan pulang bersama seribu kenangan manis untuk dikongsi bersamaorang lain,” katanya lagi.

 Bercakap tentang perbelanjaan untuk membangunkan TPJ, kata Baharuddin, ia memerlukan modal yang besar.

“Peruntukan yang diberi oleh kerajaan negeri dan pusat walaupun tidak mencukupi tetapi hakikatnya banyak membantu membangunkan TPJ.

“Kita buatlah dengan belanja yang ada sedikit demi sedikit kerana yang penting, TPJ mampu menjadi aset kerajaan negeri sampai bila-bila.

“Saya akui, kerana minat yang tinggi dalam bidang pertanian, saya sendiri dan beberapa rakan turut membelanjakan wang saku kami demi melihat kawasan ini menjadi seperti apa yang saya dan jabatan saya mahukan.

“Tetapi kalau ada lagi peruntukan kewangan yang boleh saya dapat, saya amatlah mengalu-alukan,” jelasnya sambil tersenyum.

tpj bakal jadi aset 3
tpj bakal jadi aset 2

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial