TPM Lancar Hab Kemahiran Johor Hari Ini

kypj
Foto : Utusan / Mohd Khairul Mohd Ali

JOHOR BAHRU, 18 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bakal melancarkan pembangunan Hab Kemahiran Johor yang turut melibatkan perasmian kampus induk Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) sempena lawatan kerja rasminya ke Negeri Johor, hari ini.

Turut akan diadakan pelancaran projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), yang juga sebahagian daripada fasa pembangunan Hab Kemahiran Johor yang akan disempurnakan beliau dalam satu majlis di Dewan Besar KYPJ, Bandar Akademi YPJ, Jalan Kulai-Kota Tinggi.

Ketiga-tiga komponen itu merupakan fasa pembangunan Bandar Akademi YPJ secara keseluruhan, yang mana kampus induk KYPJ merupakan komponen pertama yang telah mula beroperasi mulai awal tahun ini dan kini menempatkan seramai 2,500 pelajar.

Kampus bernilai RM120 juta seluas 40 hektar yang terletak di Kilometer 16, Jalan Kota Tinggi-Kulai mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dan mempunyai bangunan pentadbiran dan akademik serta tiga buah sekolah utama iaitu Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, Sekolah Kejuruteraan Sains Kreatif dan Sekolah Pengurusan Sains Sosial.

Turut dijadualkan hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaen.

Penubuhan Hab Kemahiran Johor yang juga dikenali sebagai Skills Johor merupakan antara agenda besar Kerajaan Negeri Johor dalam melahirkan rakyat Johor yang berkemahiran.

Pembinaan Skills Johor bernilai RM107 juta dan berkeluasan kira-kira 100 ekar itu juga merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ianya mampu menampung kapasiti sehingga 20,000 pelatih tempatan dan antarabangsa setahun apabila siap sepenuhnya kelak.

Ia bakal menyediakan satu dimensi baharu bagi pembelajaran kemahiran kepada pelajar lepasan sekolah dan tenaga kerja sedia ada untuk melatih dan meningkatkan keupayaan diri mereka.

Skills Johor memfokuskan kepada beberapa bidang kemahiran utama iaitu minyak dan gas, logistik, bioteknologi, hospitaliti dan pelancongan, penjagaan kesihatan dan peruncitan serta bahagian khidmat sokongan lain seperti kejuruteraan, elektrik dan elektronik, teknologi maklumat dan kontraktor.

Kewujudan Skills Johor ini juga diharap dapat menampung keperluan dan merapatkan jurang pekerja mahir yang dianggarkan lebih daripada 100,000 orang.

Ini sejajar dengan pertumbuhan pembangunan yang begitu pesat menerusi Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang dan sekitarnya, kawasan pelancongan berintegrasi Desaru Coast serta cadangan pembangunan industri lain di Johor khasnya dan Malaysia amnya.

Sementara Projek PPA1M pula melibatkan pembinaan sebanyak 694 unit rumah teres dua tingkat di Kilometer 16 Jalan Kulai-Kota Tinggi dan akan turut dilengkapi kemudahan taman rekreasi, dua unit gelanggang futsal, surau dan dewan serbaguna yang turut menempatkan lot kedai dan klinik.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial