Trak Mack Beraksi Di Kembara Mahkota Johor Edisi Ke-19

image
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melambai tangan kepada rakyat jelata sebelum memulakan perjalanan Kembara Mahkota Johor edisi ke-19 dengan memandu Trak Mack. (Foto : Jauhar | Anem Aziz)

 

JOHOR BAHRU, 14 Mei – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat merasmikan Majlis Pelancaran Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2016 di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini, pagi tadi.

Baginda yang tiba kira-kira pukul 8 pagi disambut lebih 3,000 rakyat jelata yang setia menanti sejak awal pagi lagi.

Baginda ditemani Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Yang Dipertua Jumaah Di Raja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, barisan EXCO kerajaan negeri dan pegawai kerajaan.

Mohamed Khaled berkata, KMJ merupakan acara yang amat istimewa dan dinantikan rakyat kerana inilah perlambangan betapa utuhnya ikatan Raja dan rakyat.

“Malah, ia juga mengakrabkan lagi hubungan di antara istana, Kerajaan Negeri dan rakyat jelata sejak diperkenalkan 16 tahun lalu.

“Ia juga bukan sekadar satu pengisian takwim negeri, tetapi merupakan acara yang memberi makna besar kepada seluruh rakyat Johor kerana tiga sebab.

“Pertama, KMJ adalah acara yang menjelma dan memaknakan hubungan erat dan padu istana dengan rakyat jelata.

“Kedua, ini adalah cara Johor mempamer dan mempertahankan peradaban bangsanya yang besar dan tersendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, sebab ketiga adalah KMJ merupakan peluang yang seharusnya diambil setiap rakyat untuk menyatakan rasa taat setia dan kasih kepada Sultan Johor dan keluarga DiRaja.

KMJ edisi ke-19 membabitkan laluan sejauh 842 kilometer yang menyaksikan kemunculan trak Mack milik Tuanku serta dua trak Mack lagi yang turut serta, bersama-sama Kelab Trak Johor yang mengambil bahagian dalam kembara kali ini.

Konvoi memulakan perjalanan ke destinasi pertama iaitu gerai Majlis Daerah Kulai sebelum singgah di Felda Inas, Kulai.

Perjalanan akan diteruskan ke Kampung Lukut, Kota Tinggi untuk berehat dan makan tengahari sebelum ke lokasi seterusnya, Legaran Tanah Putih, Kampung Sentosa Sedili, Kota Tinggi dan Tenggaroh 6, Mersing.

Sultan Ibrahim dijangkakan menamatkan kembara hari pertama dengan persinggahan di Taman Wawasan, Mersing.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial