Tragedi HSA: Jenazah Yusof Selamat Dikebumikan

2610_hsa3

BATU PAHAT, 26 Okt – Jenazah salah seorang mangsa tragedi kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Yusof Hassan, 53, selamat dikebumikan kira-kira jam 10.20 malam tadi.

Jenazah tiba di Masjid Ungku Ahmad Kampung Separap, kira-kira jam 9.30 malam disembahyang oleh ratusan penduduk kampung sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Separap, di sini.

Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad dan Adun Semerah, Mohd Ismail Roslan antara yang datang menziarahi keluarga mangsa yang tinggal di kampung berkenaan.

Terdahulu, menurut anak saudara mangsa, Jamaliah Abdul Hamid, 58, Yusof menerima rawatan di ICU Selatan HSA, sejak Jumaat lalu setelah tidak sedarkan diri akibat jatuh dan disyaki turut menghidap ketumbuhan di kepala.

“Saya sempat menziarahi arwah pada Ahad lalu di HSA, namun keadaan bapa saudara saya masih belum stabil dan berada di ICU ini untuk menerima rawatan.

“Kami menerima khabar duka berhubung insiden itu daripada seorang sepupu yang menjaga arwah di HSA dan terkejut dengan kejadian tersebut namun reda dengan ketentuan ALLAH,” katanya.

Dalam kebakaran hampir jam 9 pagi semalam, enam‎ pesakit wad itu maut manakala seorang lagi berjaya diselamatkan dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail. – Sinar Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial