TRAGEDI MAKKAH : 6 JEMAAH HAJI MALAYSIA BELUM DAPAT DIKESAN

KELANA JAYA 12 September 2015. Menteri Dijabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua kanan) ketika sidang media khas berhubung tragedi kemalangan kren runtuh di Mekah, turut hadir Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (dua kiri), Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail (kanan) dan Pengurus Besar Kanan Operasi TH, Adi Azuan Abdul Ghani (kiri). NSTP/Yazit Razali

KELANA JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, seramai enam jemaah haji Malaysia masih belum dapat dikesan susulan kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, petang semalam. 

"Pada jam 4 pagi waktu tempatan 12 September didapati enam orang jemaah haji masih belum dapat dikesan iaitu dua lelaki dan empat perempuan. 

"Ketika ini Tabung Haji sedang bekerjasama dengan pihak Muasassah Asia Tenggara bagi mencari jemaah haji berkenaan. Operasi ini diteruskan sehingga jemaah ditemui dan dikenal pasti," katanya pada sidang media mengenai tragedi runtuhan kren di Masjidil Haram, di sini, sebentar tadi. 

Setakat ini, Tabung Haji (TH) mengesahkan 10 rakyat Malaysia cedera dalam insiden itu. 

Tiga mangsa kini dirawat di Hospital King Abdulaziz, Hospital King Faisal dan Hospital Annur. Enam lagi jemaah dirawat di Hospital TH Shisha manakala seorang lagi jemaah yang cedera ringan sudah pun dibenarkan balik ke maktabnya di Maktab 89. 

Jemaah yang cedera hanya akan dibawa pulang ke Malaysia selepas mereka menamatkan ibadat haji, katanya. Dalam kejadian itu jam 5 petang waktu tempatan semalam, seramai 107 terkorban manakala 238 jemaah cedera. 

Insiden itu bermula dengan ribut pasir dan hujan lebat yang menyebabkan kren tumbang berhampiran pintu As Salam bersebelahan bangunan Sa'ie. Kren yang tumbang menimpa bangunan Sa'ie dan sebahagian daripada rangkanya jatuh di bangunan Sa'ie berdekatan dengan mataf. 

Sementara itu, Jamil Khir berkata, aktiviti Sa'ie kembali seperti biasa selepas pihak Masjidil Haram membersihkan kawasan kejadian dalam tempoh dua jam. 

"Pergerakan Sa'ie tidak tergendala, ini kerana Sa'ie ada empat tingkat dan Sa'ei yang terbabit hanya di tingkat atas. Dalam tempoh dua jam saja kejadian (keadaan) kembali seperti biasa," katanya. 

Dalam pada itu, Jamil Khir juga menasihati rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak memburukkan lagi keadaan dengan menyebarkan berita yang tidak sahih. 

"Setakat ini kita sudah tempatkan 250 anggota TH bagi membantu jemaah haji di sana dan kerajaan Malaysia akan bantu mangsa sebaik mungkin dengan memberikan sebarang bantuan yang diperlukan," katanya. – BERITA HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial