TransJohor, PIPAJ Tambah Baik Sistem Pengangkutan Awam Johor

img_0016

 

GELANG PATAH, 16 Okt – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) hari ini melancarkan Perkhidmatan Bas TransJohor dan Pelan Induk Pengangkutan Awam Johor (PIPAJ) bagi menambah baik aspek pengangkutan awam di Johor.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata pelaksanaan kedua-dua inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menambah baik jaringan dan sistem pengangkutan khususnya pengangkutan awam di Johor.

“Johor sedang beranjak menjadi sebuah negeri metropolitan yang berkepentingan serantau dan global terutamanya dalam menarik masuk pelaburan dari luar. Untuk itu, setiap kawasan di sini mestilah terhubung dengan baik demi kerancakan dan keseimbangan ekonomi.

“Melalui PIPAJ, sistem logistik dan pengangkutan barang yang cekap dan lancar bukan lagi keperluan, tetapi suatu kemestian bagi memastikan urusan penghantaran dan pengurusan mobiliti barang dapat dilaksanakan dengan cekap agar Johor menjadi destinasi pelaburan yang dinamik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sempena Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas TransJohor dan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Johor (PIPAJ) di Terminal Bas dan Teksi Gelang Patah, pagi tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Suhairi Hashim dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Dr. Badrul Hisham Kassim.

Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa di Johor, kesejahteraan hidup masyarakat juga akan dapat ditambah baik jika mereka dapat menikmati sistem dan jaringan pengangkutan awam yang baik

“Untuk tujuan tersebut, Kerajaan Negeri merangka satu pelan pengangkutan yang komprehensif dan memperkenalkan sistem bas yang berkesan iaitu TransJohor.

“Dengan jumlah jajaran perkhidmatan sejauh 742 kilometer dan meliputi 14 laluan melibatkan sembilan kawasan Pihak Berkuasa Tempatan, ia akan dilengkapi dengan kemudahan pendingin hawa, wifi percuma dan GPS bagi memudahkan pengguna mengetahui lokasi bas.

“Malah, PAJ juga akan menubuhkan sebuah pusat kawalan perkhidmatan bagi memantau setiap pergerakan bas di dalam kawasan yang ditetapkan bagi menyelesaikan masalah pengguna yang perlu menunggu bas terlalu lama,” katanya.

Beliau juga berkata, sistem pengangkutan awam yang baik juga adalah penting untuk menjayakan Johor Lestari dan memastikan pembangunan negeri yang mapan, terancang dan harmoni dengan persekitaran yang sihat.

“Perkara itu juga selari dengan usaha untuk menjadi perintis kepada projek yang berkonsepkan teknlogi hijau dan menjadi bandar hijau pertama di negara ini.

“Malah, ia turut merangkumi salah satu komponen dalam PIPAJ yang akan memeta perancangan untuk tempoh antara 30 hingga 50 tahun akan datang demi kelestarian alam sekitar,” katanya.

Pada majlis sama, turut berlangsung perasmian Terminal Bas dan Teksi Gelang Patah.

Terminal berkeluasan 1.7 ekar itu telah siap dibina semula dengan kos keseluruhan berjumlah RM6.8 juta bagi meningkatkan kualiti kemudahan awam dan keselesaan pengguna.

Lokasi terminal yang berada dalam lingkungan kemudahan utama seperti klinik kesihatan, sekolah dan balai polis menjadikan terminal itu sentiasa mendapat tumpuan selain menjadi pusat transit daripada Gelang Patah ke Singapura dan pusat bandar serta kawasan sekitarnya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial