Tujuh Pesakit Kronik Terima Sumbangan

Khalish
Haslinda bersama anaknya Muhammad Khalish yang menghidap penyakit jantung kronik.

KEMPAS, 21 Julai – Penderitaan tujuh pesakit kronik yang terdiri dari kalangan kakitangan dan ahli keluarga di bawah Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor mendapat perhatian menerusi Program Penyampaian Sumbangan yang diadakan pagi tadi.

Muhammad Khalish Azizul, yang berusia setahun lapan bulan menerima sumbangan kerana mengidap penyakit jantung kronik.

Ibunya, Haslindawati Abd Kadir, 40, merupakan pembantu operasi di Jabatan Kebajikan Masyarakat berkata, penyakit yang dihidapi anaknya dikesan seawal dalam kandungan.

“Dia hanya bergantung pada satu injap sahaja untuk meneruskan kehidupan kerana satu daripada empat injap jantungnya tiada, manakala dua lagi tidak boleh berfungsi.

“Dia hanya minum susu khas dan makan bubur yang diberi melalui tiub yang dipasang dan akan menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur dalam waktu terdekat,” katanya.

Zuliani telah mula bekerja setelah menjalani rawatan dan kini menunggu rawatan susulan.
Zuliani telah mula bekerja setelah menjalani rawatan dan bakal menjalani MRI Oktober ini.

Bagi Zuliani Mohd Noh, 36, Setiausaha Pejabat di Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang mengidap ketumbuhan bawah otak berkata, penyakit yang dialami telah menyebabkan beliau kehilangan separuh penglihatan, tidak dapat menulis, membaca dan hilang deria rasa dan bau.

“Pada Disember tahun lalu, doktor pakar di Hospital Sultanah Aminah mengesahkan saya mempunyai ketumbuhan sebesar bola pingpong dan pembedahan perlu disegerakan bagi mengelakkan buta.

“Sebelum itu tidak ada apa-apa tanda yang menunjukkan saya menghidapinya, cuma pada awalnya penglihatan mulai kabur dan keputusan yang diterima membuatkan saya terpaksa bercuti selama tiga bulan selepas pembedahan pada Mac lalu.

“Saya redha dengan keputusan itu dan Alhamdulillah sekarang saya sudah mula bekerja dan akan menjalani MRI pada Oktober nanti,” katanya.

Penyampaian sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Asiah Md Ariff, sempena Majlis Jamuan Hari Raya di Dewan Asrama Akhlak (Lelaki) Kempas, pagi tadi.

Pada majlis tersebut, Asiah turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM200 setiap seorang kepada tiga orang anak yatim selain tujuh orang pesakit kronik yang terdiri daripada kakitangan dan ahli keluarga dibawah portfolio beliau.

Majlis tersebut mendapat kerjasama daripada enam jabatan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Dalam pada itu, lebih 1,000 tetamu hadir memeriahkan majlis jamuan hari raya tersebut yang bermula dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang serta dijamu dengan makanan seperti burasak, sate, daging kambing dan kuih muih.

Asiah 2

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial