TUMPAHAN MINYAK MAKIN TERUK

image (4)

PONTIAN – Kira-kira 30 nelayan di Jeti Permas Besar di sini, tidak dapat turun ke laut sejak seminggu lalu berikutan pencemaran sisa minyak yang makin teruk. Ketua Pengkalan Permas Besar, Wahid Awang berkata, pencemaran sisa minyak dikesan berlaku awal minggu lalu menyebabkan pendapatan nelayan merudum.

Menurutnya, nelayan juga terpaksa menanggung kerugian akibat jaring rosak terkena sisa tumpahan minyak. 

“Dulu kami boleh dapat lebih RM100 sehari hasil tangkapan ikan dan udang, sekarang RM10 pun susah, Sudahlah rezeki terjejas, kami terpaksa tanggung rugi bila jaring ikan dan udang berharga ribuan ringgit rosak terkena sisa minyak,” katanya. 

Dakwanya, pencemaran sisa minyak kerap berlaku  kerana terdapat banyak kapal dagang melalui dan berlabuh di hadapan Pantai Kukup dan Tanjung Piai setiap hari. 

“Minyak warna hitam yang kotor dan berbau busuk mencemarkan pesisir pantai, kesannya dapat dilihat pada akar pokok bakau yang berwarna hitam,” katanya semalam.

Jelasnya, walaupun laporan polis telah dibuat, pihaknya kesal kerana tiada tindakan diambil bagi mengatasi isu itu. 

“Sejak 2012 sudah empat laporan polis dibuat, kami hanya mahu nasib kami dibela, kami tak mahu jadi mangsa sisa tumpahan minyak,” katanya. 

Bagi Paizad Abdul Rahman, 38, dia kesal dengan isu pencemaran sisa minyak yang berlanjutan tanpa sebarang pembelaan.

Malah, sehingga kini tiada pihak dibawa ke muka pengadilan atas kesalahan membuang sisa minyak ke laut sedangkan masalah itu sering dilaporkan berlaku. 

“Nelayan pantai paling terjejas, kami terpaksa menanggung kerugian dengan keluarkan duit poket untuk beli jaring baru, hasil tangkapan pula tak seberapa, Tiap kali jaring terkena minyak kami buat laporan polis dan memanjangkannya kepada pihak persatuan namun tiada tindakan,” katanya. 

Dia berharap pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan bagi menghalang kapal membuang sisa minyak terus ke laut. 

Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan 3 Mukim Ayer Masin, Baharudin Yusuf mahu isu ini diberikan perhatian oleh pihak kepimpinan di peringkat parlimen dan Dun. 

“Nelayan di sini perlu pembelaan sewajarnya. Jika ada bantuan mungkin dapat meringankan beban mereka untuk beli jaring,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial