Tun M Tidak Akan Berjaya Takutkan Rakyat Johor

IMG_4459

JOHOR BAHRU, 22 Jan – Usaha untuk menakut-nakutkan rakyat Johor, terutama berhubung projek pembangunan Forest City oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan berjaya.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin menegaskan limpahan manfaat daripada projek itu hanya akan membawa kebaikan dan kemakmuran kepada negeri Johor dan rakyatnya.

“Kita lihat kemasukan pelabur dan orang asing ke Johor untuk menggerakkan perniagaan mereka, kalau kita tidak susun dengan baik, ia boleh menjejaskan kedudukan orang tempatan.

“Atas sebab itulah Kerajaan Negeri sentiasa memikirkan apa yang boleh kita buat untuk tentukan Johor terus berjaya dan pada masa yang sama tidak memberi kesan yang besar kepada orang tempatan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bazar Tahun Baru Cina Muafakat Johor 2017 anjuran Gabungan Persatuan Tiong Hua Pasir Gudang di Taman Johor Jaya malam tadi.

Mohamed Khaled turut menyatakan kesediaan untuk menjemput Tun Dr Mahathir untuk melihat sendiri projek Forest City bagi mendapatkan fakta dan gambaran sebenar.

Tegas beliau, kedaulatan undang-undang negara tidak mungkin membenarkan penganugerahan status kerakyatan kepada mana-mana individu hanya kerana mereka membeli hartanah.

“Kita boleh jemput Tun Mahathir untuk melihat ada atau tidak 700,000 orang China di sana?

“Projek itu dijangka ambil masa 30 tahun dan bila siap kelak, ia akan menjadi pusat kewangan, perdagangan, perniagaan yang membolehkan kita menarik pelbagai orang untuk berniaga di sana,” katanya.

Beliau menambah, Kerajaan Negeri tidak pernah menyokong mana-mana individu asing untuk menjadi warganegara Malaysia hanya semata-mata kerana mereka membeli unit kediaman di Johor.

Katanya, usaha penyediaan prasarana yang baik perlu diteruskan dalam meningkatkan sektor pelaburan.

“Kalau banyak pelaburan memasuki Johor, tidak kira daripada negara mana dan kita tidak menyediakan prasarana yang sesuai, kita akhirnya yang akan kerugian,” tegas beliau.

Tambah beliau lagi, projek berskala mega seperti Forest City adalah inisiatif bagi meningkatkan kemampuan negara untuk bersaing dengan Singapura.

Katanya, Malaysia bernasib baik kerana ada pihak yang cukup yakin untuk membuat pelaburan besar seperti di Forest City.

“Kita bernasib baik berjaya menarik pelabur yang kebetulan daripada China.

“Ini sangat penting kerana ekonomi dunia hari ini penuh dengan cabaran. Tanpa pelaburan daripada luar, kita mungkin akan berhadapan dengan keadaan yang semakin teruk,” katanya.

Mohamed Khaled menjelaskan bahawa jika kita ingin dengan bersaing dengan Singapura, kita perlu satu projek dan pelaburan berskala besar.

Tambahnya, projek Forest City sahaja melibatkan kos USD100 bilion.

“Kalau saya minta dengan kerajaan pusat jumlah itu, hasil kerajaan pusat hanya RM260 bilion setahun.

“Tak kan tiada peruntukan untuk negeri lain? Kalau begitu, sampai bila pun kita tidak boleh bersaing dengan Singapura,” katanya lagi.

Sebanyak 42 peratus kepentingan projek Forest City terdiri daripada pegangan tempatan manakala selebihnya dimiliki oleh syarikat dari China.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial