TVET Asas Pembangunan Ekonomi Masa Hadapan

JOHOR BAHRU, 17 Julai – Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah aspek penting dalam membentuk masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, ia kerana TVET memperkasakan setiap lapisan masyarakat ke arah pembangunan mampan, pengurangan kadar kemiskinan serta kesejahteraan ekonomi.

“Kami percaya bahawa mentransformasikan TVET melalui pendekatan yang diterajui bidang industri adalah penting bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, terutama yang mampu memenuhi keperluan industri dan menyokong migrasi semua sektor ekonomi ke arah aktiviti yang intensif pengetahuan.

“Atas sebab itu, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan RM4.6 bilion dalam Bajet 2017 untuk institusi TVET. Dengan dana yang besar ini, kita mensasarkan untuk melahirkan tenaga kerja tempatan yang memenuhi keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam’Asia TVET Experts Forum’ (ATEF 2017) dan ‘ASEAN Vocational and Engineering Camp’ (AVEC 2017) malam tadi.

Kini, tenaga kerja mahir di Malaysia berada pada 28% di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan ia dijangka meningkat kepada 35% menjelang tahun 2020.

Inisiatif di bawah RMK-11 ini dijangka akan menghasilkan 1.5 juta peluang pekerjaan menjelang 2020, di mana 60% daripada jumlah itu memerlukan kemahiran TVET.

“Melihat statistik itu, maka jelaslah bahawa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi amatlah penting dalam melonjakkan Malaysia ke arah menjadikannya sebuah negara maju.

“Bagi memastikan perkara itu direalisasikan, kita perlu meneroka peluang yang lebih besar melalui TVET dan membangunkan setiap rakyat kita tanpa mengira umur, bangsa dan latar belakang,” kata beliau.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial