UBAH KAWASAN SAMPAH JADI LANDSKAP HIJAU

image (3)

PONTIAN 27 Ogos – Seramai 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, dekat sini berjaya mengubah kawasan pembuangan sampah menjadi landskap yang indah dengan dipenuhi pokok-pokok yang menghijau.

Projek yang dinamakan ‘Lorong Hijau’ itu diilhamkan oleh Kumpulan Infinity Protector, dianggotai pelajar sekolah tersebut yang mewakili negeri ini menyertai cabaran Toyota Eco Youth dengan memilih kawasan pembuangan sampah di Kampung Asam Kumbang, Benut sebagai kawasan hijau.

Ketua Projek. Mohd. Daniel Norden berkata, pihaknya mengambil masa empat bulan bagi menjayakan program tersebut dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan 4 Mukim Sungai Pinggan, Southern Waste Corporation (SWCorp), Jabatan Pe­ngairan dan Saliran (JPS) daerah dan Majlis Daerah Pontian (MDP).

“Rakan Alam Sekitar (RAS) sekolah ini juga bersama-sama kami bergotong-royong membersihkan kawasan tersebut, menanam pokok landskap dan kerja-kerja pembersihan yang lain,” katanya selepas majlis perasmian kawasan itu yang disempurnakan oleh Pe­ngarah SWCorp negeri, Asri Amat.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Ayer Baloi, Rohani A. Manaf; Peng­hulu Mukim Sungai Pinggan, Zulkifle Tubee dan Pengerusi JKKK Kawasan 4 Mukim Sungai Pinggan, Abd. Rahim Laberahimah.

Mohd. Daniel mengakui pihak­nya gembira kerana mendapat pengetahuan berharga tentang kaedah pengurusan sampah dan dapat mengubah ‘wajah’ kawasan berkenaan menjadi landskap yang cantik dan menghijau.

Sementara itu, Asri turut memuji usaha yang dilakukan ahli-ahli Kumpulan Infinity Protector yang berjaya member­sihkan dan mengindahkan kawasan pembuangan sampah haram menjadi kawasan hijau dan projek itu merupakan yang pertama dilaksa­nakan pelajar di negeri ini.

“Walaupun pada awalnya hanya seorang dua yang berbuat demikian, namun kita yakin usaha ini akan menjadi ikutan orang lain,” katanya sambil berharap masyarakat lebih peka terhadap aspek kebersihan di kawasan masing-masing.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial